Pilih Bahasa

“Serah diri atau kami tahan” -Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Pemilik senjata api buatan sendiri di negeri ini dinasihatkan untuk tampil menyerah diri sebelum polis bertindak menahan mereka.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata sehingga hari ini belum ada individu yang tampil menyerah diri selepas tangkapan terbesar membabitkan lapan individu yang terbabit dalam pembuatan dan memiliki senjata api di Ranau baru-baru ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass menyaksikan pertukaran jawatan Ketua Cawangan Khas Kontinjen Sabah antara Datuk Suhaimi Deraman yang bersara wajib kepada timbalannya Deputi Komisioner Abu Samah Mohd Noor di auditorium IPK Sabah, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pihak polis sudah mengenal pasti pemilik senjata api itu dan kita menyeru mereka yang memiliki senjata api termasuj jenus bakakuk untuk menyerah diri bersama senjata itu.

“Kita mempunyai rekod, tetapi saya nasihatkan mereka ini semua lebih elok tampil menyerah diri sebelum tangkapan dibuat keatas mereka dan sekiranya mereka ini bekerjasama, ia dapat membantu dari segi siasatan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Cawangan Khas Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kepayan, hari ini.

Menurut Zaini, kesalahan memiliki senjata apo boleh membawa hukuman yang berat apabila disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 kerana berdagang senjata api.

“Jika disabit kesalahan, mereka ini boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumue hidup dan juga sebat tidak kurang daripada enam kali,” jelasnya.

Polis Sabah sebelum ini berjaya menahan lapan individu termasuk seorang warga emas yang menjalankan aktiviti pembuatan senjata api dalam beberapa siri serbuan di sekitar daerah Ranau awal bulan ini.

Dalam pada itu, Zaini turut mengingatkan pegawai dan anggota polis terutamanya yang berada di barisan hadapan seperti polis di Cawangan Khas harus menjaga integriti masing-masing.

“Jika integriti barisan hadapan ini lemah, maknanya keselamatan negara boleh terancam. Kerana mereka yang menjaga pintu keluar masuk negara ini, jika integriti mereka lemah, penjenayah mudah meloloskan diri,” katanya.

Pada majlis itu, Datuk Suhaimi Deraman yang bersara wajib menyerahkan jawatan sebagai Ketua Cawangan Khas Kontinjen Sabah kepada timbalannya, Deputi Komisioner Polis Abu Samah Mohd Noor. -SabahNewsToday