Pilih Bahasa

Seramai 1,412 pelajar di Sipitang terima bantuan Yayasan Sime Darby

SIPITANG, 15 Nov — Seramai 1,412 pelajar dari empat buah sekolah menengah di sini menerima bantuan berupa peralatan sekolah daripada Yayasan Sime Darby.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby (YSD), Dr Yatela Zainal Abidin berkata sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sindumin seramai 199 pelajar, SMK Pengiran Omar (496) , SMK Pengiran Omar II (347) dan SMK Padang Berempah (370).

Dr Yusof (tengah) mengetuai penyampaian beg sekolah kepada para pelajar di Sipitang. Gambar SNT/Ihsan KP&I

“Bantuan ini diberikan kepada pelajar yang layak. Selain sekolah di Sipitang, seramai 157 pelajar di Sekolah Kebangsaan Suang Punggur, Kota Belud turut menerima bantuan pada tahun ini,” katanya ketika berucap pada majlis Program Kembali ke Sekolah 2019, di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin.

Dr Yusof ketika menyampaikan ucapan. Gambar SNT/Ihsan KP&I

Sementara itu, Dr Yusof berkata kerjasama antara pihak swasta melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) wajar dicontohi oleh badan korporat dan badan bukan kerajaan.

Beliau berkata Sabah merupakan negeri yang paling banyak menerima sumbangan daripada Yayasan Sime Darby terutamanya dalam inisiatif melindungi dan memelihara alam sekitar, bantuan pendidikan kepada pelajar miskin serta usaha untuk menyediakan infrastruktur pendidikan di sekolah pedalaman melalui projek ‘Asrama Desa’.

“Semoga segala kerjasama dan membantu masyarakat di Sipitang dapat meringankan beban para ibu bapa dan memberi galakan serta motivasi kepada para pelajar untuk hadir ke sekolah sekali gus berjaya dalam pelajaran,” katanya.– BERNAMA