Pilih Bahasa

Seramai 26 individu disyaki terlibat penyalahgunaan dadah ditahan di Suang Parai

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seramai 26 individu yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah ditahan dalam serbuan di Kampung Suang Parai, di sini, hari ini.

Operasi jam 12 tengah hari itu dijalankan lima pegawai dan 58 anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bersama Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Suspek yang ditahan di Suang Parai dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata operasi itu dijalankan selama dua jam di kawasan sekitar yang dikenal pasti menjadi sarang penagihan dadah.

Katanya, hasil serbuan itu, polis menahan 26 lelaki termasuk enam warga asing yang melakukan pelbagai jenayah dadah termasuk dua pengedar.

“Dalam operasi ini, polis turut berjaya merampas 1.5 gram serbuk dadah dipercayai syabu daripada suspek yang ditahan.

“Sepanjang operasi ini, pasukan serbuan turut berdepan cabaran termasuk tindakan agresif selain laluan sempit di penempatan atas air di kampung berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Habibi menemu bual penduduk di Suang Parai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah kepada polis. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Menurutnya, pasukan polis terpaksa melalui jambatan yang terdedah dengan penyambungan elektrik haram.

“Cabaran yang ada dalam operasi ini cukup membahayakan keselamatan pasukan serbuan.

“Tapi kita bersyukur kerana operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini,” katanya.

Habibi berkata operasi ini akan diadakan dari semasa ke semasa terutamanya di empat kawasan perkampungan yang dikenal pasti sebagai kawasan panas bagi aktiviti penyalahgunaan dadah sekitar daerah ini.

“Selepas Suang Parai, kita akan menjalankan operasi serbuan di Sembulan, Kampung Kandang Ayam atau Bakau, Kampung Wak-Wak dan Kampung Lokub.

Pasukan Unit K9 turut dibawa ke lokasi untuk menjalankan pengesanan dadah. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Ia bagi memastikan keseluruhan kawasan bebas dari sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, Habibi mendedahkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Kinabalu berjaya menahan 1,374 individu sejak Januari.

Selain itu katanya, IPD Kota Kinabalu turut berjaya menumpaskan dua sindiket dadah dan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah- langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Kita turut menahan 54 individu mengikut Seksyen 39C ADB 1952 dan sepanjang tempoh itu juga, polis berjaya merampas 5,459.35 gram syabu bernilai RM700,759.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas mencecah 10,917.31 gram dengan nilai RM1,231,413,” katanya. – SabahNewsToday