Pilih Bahasa

SERAMAI 26 PESALAH BUANG SAMPAH DIPENJARA SEJAK 2017

Oleh Mohd Adam Arinin

Kakitangan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah antara yang menyertai operasi khas di Bandaran Berjaya, pagi tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seramai 26 orang telah dipenjarakan atas kesalahan tidak hadir ke mahkamah ataupun engkar menjalani khidmat masyarakat selepas didapati membuang sampah di sekitar bandaraya ini sejak 2017 sehingga tahun lepas.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Amrullah Kamal berkata biasanya dalam keadaan sedemikian waran tangkap akan dikeluarkan kepada individu-individu terbabit dan mereka akan dikenakan hukuman penjara.

“Sekiranya mereka yang didapati bersalah ini tidak membayar kompaun yang dikeluarkan, maka pihak DBKK akan mengambil keputusan untuk mengarahkan mereka melakukan khidmat masyarakat untuk 40 jam.

Pembersihan sampah di kawasan lereng bukit turut dilakukan bagi mengelakkan kawasan sekitar tercemar dan menjadi sarang tikus. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Dan jika engkar, maka mereka kemungkinan besar akan berdepan dengan hukuman penjara,” katanya ketika sidang media Operasi Khas Menangani Tikus di Bandaran Berjaya, di sini, hari ini.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melaksanakan khidmat komuniti tersebut kepada 161 pesalah pada tahun 2016 dan meningkat kepada 203 orang pada tahun 2017.

Manakala, pada tahun lepas hanya 58 orang pesalah sahaja yang diarahkan menjalani khidmat komuniti ini berikutan semakin banyak kesedaran timbul dikalangan warga bandaraya.

Pembersihan sampah di kawasan lereng bukit turut dilakukan bagi mengelakkan kawasan sekitar tercemar dan menjadi sarang tikus. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Bagi jumlah kompaun yang dikeluarkan pula, DBKK telah mengeluarkan sebanyak 25 kompaun yang bernilai RM52,200 pada tahun 2017 dan menurun pada tahun lepas dengan hanya 10 kompaun dengan jumlah RM32,100.

Setakat 10 Januari ini, DBKK telah mengeluarkan lima kompaun yang berjumlah RM500 kepada mereka yang membuang sampah.

URUS SAMPAH DENGAN BAIK, ELAK BUANG DALAM PARIT – CEGAH PEMBIAKAN TIKUS

Dalam pada itu, lebih 1,000 peserta terdiri dari kakitangan DBKK, sektor kerajaan dan swasta termasuk pusat pengajian tempatan mengambil bahagian dalam program kebersihan pagi tadi.

Menurut Amrullah, operasi ini dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dikalangan masyarakat terutama pengusaha premis makanan untuk mengurus sisa makanan dengan lebih teratur bagi mengelakkan kawasan Bandaran Berjaya ini menjadi sarang pembiakan tikus.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman (tiga kanan) mengetuai Operasi Khas Menangani Tikus di Bandaran Berjaya, pagi tadi. Gambar SNT/Mohd Adam’ Arinin

“Kita dapati terdapat beberapa pengusaha restoran mengambil langkah mudah untuk membuang atau melupuskan sisa makanan terus ke dalam parit di belakang kedai mereka.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Nordin Saiman (dua kiri) menangkap tikus yang menjadi masalah utama di sekitar kawasan Bandaran Berjaya, pagi tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Tindakan ini akan menyebabkan pembiakan tikus menjadi banyak kerana akan menarik perhatian tikus lain untuk berada di lokasi itu,” katanya. -SabahNewsToday