Pilih Bahasa

Seramai 33 ditahan dalam Op Sarang Khas, Papar

Oleh Junaidi Ladjana

PAPAR: Seramai 33 individu ditahan dalam operasi ‘Op Sarang Khas’ yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.

Operasi membabitkan seramai 60 anggota dan pegawai itu, dijalankan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, IPD Beaufort dan IPD Keningau serta IPD Tuaran.

Salah seorang suspek yang ditahan dalam operasi Sarang Khas IPD Papar. Gambar SNT/Ihsan IPD Papar

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata operasi dijalankan dengan menumpukan kawasan ‘hotspot’ aktiviti dadah yang dikenal pasti di daerah Papar.

Katanya sepanjang operasi berkenaan, seramai 70 individu diperiksa dan membawa kepada penahanan 33 individu membabitkan kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952

“Seramai 33 orang ditahan selepas didapati positif dadah dan disiasat Seksyen 15(1) ADB 1952, manakala tiga lagi ditahan mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952.

“Dalam pada itu, polis turut berjaya merampas kira-kira 22.10 gram dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Batholomew berkata hasil saringan awal, semua suspek didapati positif dadah jenis Meth dan AMP.

Lelaki disyaki penagih ditahan dalam Ops Sarang Khas di Papar. Gambar SNT/Ihsan IPD Papar

Katanya semua suspek yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun dan mereka direman di IPD Papar untuk tindakan selanjutnya.

“Kejayaan operasi ini adalah salah satu usaha PDRM dalam menangani gejala penyalahgunaan dadah terutama di kawasan daerah Papar.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dadah didaerah ini disarankan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak PDRM, IPD Papar khususnya untuk tindakan segera,” katanya. – SabahNewsToday