Pilih Bahasa

Seramai 33 ditahan ingkar PKPP di Kota Kinabalu

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seramai 33 individu ditahan selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi Op Cantas/Covid di Jalan Kompleks Sinsuran, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 9.40 malam itu, sepasukan polis yang bertindak atas maklumat awam mendapati kumpulan individu terbabit berkumpul di sebuah premis restoran tanpa mematuhi arahan PKPP.

Pasukan polis melakukan pemeriksaan di sebuah restoran di Jalan Sinsuran, Kota Kinabalu.-Gambar SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata ekoran daripada itu, semua pekerja dan pelanggan ditahan membabitkan lima wanita dan 28 lelaki.

Katanya pemeriksaan mendapati pemilik premis, pekerja dan pelanggan gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.7) Perkara 3.

“Semua boleh dihukum mengikut peraturan 11 peraturan yang sama di mana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Antara kesalahan adalah tidak menulis butir-butir diri pada buku daftar, tidak menjaga penjarakan fizikal dan tidak menyediakan peralatan pembaca suhu badan dan cecair pembasmi kuman,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata semua ditahan selepas didapati melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan kejangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

Katanya tangkapan dan rampasan kemudian dibawa balik ke balai untuk siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Habibi berkata objektif utama pemeriksaan itu dijalankan adalah untuk memastikan perintah kawalan pergerakan pemulihan dipatuhi sepenuhnya terutama kepada pengusaha premis.

Katanya usaha tanpa henti yang dijalankan polis adalah bagi membenteras penularan virus Covid-19.

“Kerjasama seluruh masyarakat adalah amat penting dalam penambahbaikan pengurusan keselamatan yang juga merupakan faktor utama dalam mengelakkan ledakan Covid-19 dalam skala yang lebih besar,” katanya. – SabahNewsToday