Pilih Bahasa

Seramai 43,565 calon UPSR di Sabah bermula esok

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Bad Hamid (dua dari kiri) menunjukkan butir-butir maklumat bilangan calon UPSR di Sabah pada tahun ini. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Seramai 43,565 calon akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 di Sabah yang akan diadakan serentak di seluruh negara bermula esok.

Peperiksaan UPSR pada Khamis khusus bagi Bahasa Cina dan Bahasa Tamil manakala Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains adalah pada 24 hingga 27 September.

Ketua Sektor Pernilaian dan Peperiksaan, Bad Hamid Musli berkata, sebanyak 1,089 pusat peperiksaan disediakan dengan seramai 6,152 petugas peperiksaan dilantik bagi mengendalikan kelancaran peperiksaan dan mematuhi semua prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Bad Hamid berkata, daripada jumlah keseluruhan calon UPSR di Sabah, seramai 37,914 adalah calon Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) pula seramai 5,178 calon dan 473 calon adalah sekolah swasta.

Katanya, calon UPSR bagi SK akan menduduki empat mata pelajaran meliputi enam kertas peperiksaan iaitu Bahasa Melayu (Pemahaman dan Penulisan), Bahasa Inggeris (Pemahaman dan Penulisan), Matematik dan Sains.

“Bagi SJKC pula, calon-calon akan menduduki lima mata pelajaran meliputi lapan kertas peperiksaan iaitu Bahasa Melayu (Pemahaman dan Penulisan), Bahasa Inggeris (Pemahaman dan Penulisan), Bahasa Cina (Penulisan dan Penulisan), Matematik dan Sains,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman UPSR 2018 di Pejabat Pendidikan Negeri Sabah di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap peperiksaan UPSR tahun ini berjalan lancar dan tidak berlaku perkara tidak diingini seperti kebocoran soalan.

“Justeru, Saya berharap semua pihak sama ada pengurus peperiksaan, petugas peperiksaan mahu pun calon-calon sentiasa mematuhi segala arahan peperiksaan sedia ada,” katanya.

Katanya, Pengurus Peperiksaan Daerah iaitu Pegawai Pendidikan Daerah dan Pengurus Peperiksaan Sekolah iaitu Guru Besar diingatkan supaya bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan, khususnya bencana alam. – SabahNewsToday