Pilih Bahasa

SESB agih bantuan kepada 750 individu termasuk pesara terkesan oleh PKP

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terus melangkah dengan inisiatif membantu pihak kerajaan dalam memastikan golongan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus mendapat bantuan.

Seramai 750 penerima terdiri daripada fakir miskin, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), golongan B40 dan pesara SESB/ Lembaga Letrik Sabah (LLS) terpilih untuk mendapatkan bantuan yang diamanahkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggunakan wang Zakat, dan diserahkan melalui SESB.

Chendramata (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima. Gambar SNT/Ihsan SESB

Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Hajah Chendramata Hj Sinteh berkata
bantuan tersebut yang diagihkan ke seluruh negeri Sabah dan juga Labuan melibatkan peruntukan berjumlah RM150,000.

“Sejumlah RM150 ribu telah diagihkan dalam bentuk barangan keperluan asas bernilai RM100 dan wang tunai RM100 kepada 750 orang penerima yang pihak kami kenal pasti melalui senarai daripada Jabatan Kebajikan Negeri dan juga kepada pesara SESB/LLS,” katanya.

Beliau turut berkata pengagihan sumbangan tersebut turut melibatkan penglibatan anggota kerja dari pelbagai peringkat termasuk Kesatuan/Persatuan Pekerja secara terus kepada golongan-golongan yang layak menerima.

Agihan sumbangan bagi kawasan Kota Kinabalu dilaksanakan selama tiga hari bermula pada 7 Mei lalu melibatkan kawasan Manggatal, Kolombong, Likas, Tanjung Aru, Putatan, Kinarut dan Sembulan.

Chendramata (tiga kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang lagi penerima. Gambar SNT/Ihsan SESB

Manakala agihan sumbangan di kawasan lain dilaksanakan secara serentak bermula
pada 12 Mei sehingga 15 Mei 2020.

Beliau turut berkata adalah diharapkan usaha murni ini dapat sedikit sebanyak membantu serta memberi kegembiraan kepada mereka yang sedang dihimpit kesusahan hidup akibat krisis pandemik Covid-19 ini.

“Mudah-mudahan musibah yang menimpa negara berakhir secepat mungkin. Semoga bantuan ini dapat membantu meringankan beban golongan terjejas akibat Covid-19 dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya.-SabahNewsToday