Pilih Bahasa

Kaunter Perkhidmatan Pelanggan SESB dibuka mulai hari ini

KOTA KINABALU: Bagi memenuhi keperluan pelanggan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membuka semula kaunter perkhidmatan pelanggan mulai hari ini.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir. Norhizami Abu Hasan berkata SESB akan terus memastikan perkhidmatan yang terbaik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ini dilaksanakan bukan sahaja melalui peningkatan dayaharap kepada perkhidmatan bekalan tetapi turut diberikan perhatian ialah perkhidmatan pelanggan, katanya.

Sehubungan dengan itu, Norhizami berkata SESB memutuskan untuk membuka kaunter perkhidmatan pelanggan bermula pada jam 8 pagi sehingga 4 petang setiap Isnin hingga Jumaat.

Jumlah anggota kerja yang bertugas hanya 50 peratus mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga & Sumber Asli (KeTSA).

“Pembukaan kaunter perkhidmatan pelanggan ini bagi membolehkan urusan-urusan berkaitan seperti permohonan bekalan baharu, penukaran nama pemilik akaun, penamatan akaun, pertanyaan bil serta aduan berkaitan bil dapat dilakukan oleh pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Norhizami, SESB akan terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini termasuklah penggunaan penutup hidung dan mulut, mengamalkan penjarakan sosial, penggunaan hand sanitiser dan saringan suhu badan pelanggan yang ingin berurusan di semua kaunter perkhidmatan pelanggan SESB, katanya.

“Selain itu, kita juga akan merekod nama pelanggan dan nombor telefon mereka sebelum membenarkan mereka masuk untuk berurusan,” katanya lagi.

Walaubagaimanapun, Norhizami berkata pelanggan digalakkan membuat
pembayaran bil elektrik mereka melalui transaksi saluran pembayaran atas talian (online) atau kios pembayaran SESB yang beroperasi 24 jam di semua pejabat kawasan SESB seluruh negeri Sabah dan W.P Labuan.

“Untuk sebarang urusan transaksi, pengguna dinasihatkan menggunakan kemudahan transaksi atas talian, antaranya menerusi https://ocs.sesb.com.my/OCS_QUICK/ untuk
menyemak dan membayar bil elektrik dan SESB juga menggalakkan pelanggan untuk
mengemaskini data mereka melalui https://ocs.sesb.com.my,” katanya.

Pengemaskinian maklumat data pengguna bagi memudahkan informasi terkini mengenai pekhidmatan SESB disalurkan kepada pengguna termasuk perkhidmatan menerima pesanan ringkas (SMS) berkaitan maklumat bil.

Beliau turut menasihati pelanggan yang ingin membuat penukaran nama pemilik akaun agar mengambil peluang yang ada untuk berbuat demikian bagi memudahkan pelanggan untuk berdaftar melalui Online Customer Services (OCS) SESB dan menikmati pekhidmatan pesanan ringkas (sms) tersebut.

Walaubagaimanapun Norhizami menasihati pengguna agar urusan yang boleh dibuat melalui panggilan telefon ke SESB Careline 15454, 088- 515000 atau melalui aplikasi whatsap 019- 8525427 adalah digalakan buat masa sekarang bagi tujuan mengurangkan pergerakan dan pada masa yang sama membantu pihak kerajaan untuk sama-sama membendung penularan wabak Covid-19 ini.

Sementara itu, katanya bagi penyambungan bekalan baharu, pihak SESB juga mengehadkan kepada 50 peratus kapasiti anggota kerja bagi meminimakan pergerakan seperti ditetapkan di dalam panduan KeTSA.-SabahNewsToday