Pilih Bahasa

SESB laksana bacaan meter pengguna semula

KOTA KINABALU- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) telah memulakan semula aktiviti bacaan meter di premis pengguna bermula 17 April lalu.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Norhizami Abu Hasan berkata bacaan meter oleh anggota kerja SESB ini dilaksanakan ke atas semua pengguna SESB dan akan dijangka selesai pada 16 Mei 2020.

Norhizami Abu Hasan. Gambar SNT/Ihsan SESB

Beliau menjelaskan bahawa dengan pelaksanaan bacaan meter di tapak (untuk premis yang boleh diakses), akan membolehkan pengguna mendapat bacaan meter sebenar dan menerima bil seperti biasa.

“SESB membuat keputusan untuk melaksanakan bacaan meter di tapak/premis pengguna bagi membantu pengguna mendapatkan bil dengan amaun sebenar dan ini adalah penting kerana penggunaan adalah amat berbeza semasa tempoh PKP dan kaedah anggaran sukar dibuat untuk setiap pengguna. Lebih-lebih lagi dengan pengiraan diskaun yang perlu tepat dan bersesuaian dengan kategori-kategori tertentu pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jumlah diskaun yang diberikan kepada pengguna juga akan tertera di dalam bil tersebut berdasarkan kepada Pakej Ransangan Ekonomi PRE 2020 yang diumumkan oleh kerajaan.

Beliau turut menambah bahawa SESB akan menitik beratkan perihal keselamatan dan
kesihatan pembaca meter SESB dan pihak pelanggan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur pencegahan yang disarankan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu beliau berkata pengguna yang mana premis mereka tidak dapat diakses untuk pembacaan meter, maka bacaan akan dibuat secara anggaran sahaja.

Pengguna juga dinasihatkan untuk berdaftar dalam sistem perkhidmatan pelanggan secara online SESB iaitu “Online Customer Service SESB” melalui pautan https://ocs.sesb.com.my untuk mengetahui jumlah terkini bil elektrik mereka termasuk diskaun yang diberikan mengikut kategori yang telah ditetapkan serta kemudahan membuat pembayaran secara online.

Pengguna yang menghadapi masalah untuk mendaftar masuk ke OCS SESB dikehendaki untuk terus menghubungi SESB Careline di talian 088- 515000 atau melalui applikasi Whatsapp di nombor 019- 852 5429 untuk mendapatkan maklumat lanjut serta bantuan pendaftaran.

Selain daripada itu, Norhizami berkata anggota kerja SESB yang melakukan bacaan meter di premis pengguna akan mengenakan pakaian seragam yang mempunyai logo SESB besertakad pekerja disamping mematuhi perintah pencegahan yang ditetapkan oleh Kementerian Malaysia.-SabahNewsToday