Pilih Bahasa

SESB permudahkan pembayaran bil elektrik

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan sentiasa menyediakan dan memperbanyakkan kemudahan saluran pembayaran bil elektrik.

Pemangku Pengarah Urusan Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata SESB perlu
menyediakan saluran pembayaran yang mudah diakses oleh pengguna supaya
pembayaran bil elektrik boleh dibuat pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid. Gambar Fail SNT

Antaranya ialah mesin kios pembayaran yang beroperasi 24 jam di ibupejabat SESB,
pejabat kawasan Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Tuaran, Beaufort, Kota Marudu,
Papar, Keningau, Wilayah Persekutuan Labuan dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

Pemasangan mesin kios pembayaran yang beroperasi 24 jam adalah untuk
menampung bilangan pelanggan yang semakin bertambah selain memberikan
kemudahan kepada pelanggan untuk membayar bil elektrik mereka selepas waktu pejabat.

SESB juga meletakkan mesin kios pembayaran di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu yang beroperasi pada jam 10.00pagi hingga 7.00 malam pada hari
bekerja dan 8.00 pagi hingga 5.00 petang pada hujung minggu.

Selain itu, pengguna juga boleh mengunjungi UTC bagi tujuan pertanyaan mengenai permohonan bekalan elektrik.

Abdul Nasser juga berkata, kemudahan pondok pandu lalu juga disediakan di Wisma SESB dan pejabat kawasan SESB W.P Labuan manakala kaunter pembayaran disediakan di semua pejabat kawasan seluruh Sabah dan W.P Labuan termasuk pejabat SESB Pekan Kinarut serta ejen ejen pembayaran yang lain.

Antara ejen-ejen pembayaran yang boleh dikunjungi oleh pengguna dan pembayaran adalah dilakukan di kaunter ialah kaunter pejabat Pos Malaysia Berhad, kaunter Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Alliance Bank Berhad, Bank Simpanan Nasional, Bank Kerjasama Rakyat, Agro Bank, Bank Islam Berhad dan CIMB.

Beliau juga berkata bahawa SESB juga menempatkan anggota kerja yang bertugas
menerima bayaran bil elektrik daripada pengguna di kaunter pembayaran SESB di
CIMB Api Api Centre dan CIMB Tawau.

Pembayaran melalui perbankan online boleh dibuat di Maybank2u, CIMB Clicks, HSBC, Public Bank, Ambank, Kuwait Finance House, Alliance Bank, Agro Bank, BSN, Pos Malaysia Berhad, Mbf ‘Click & Pay’ dan Bank Kerjasama Rakyat.

Bil SESB juga boleh dijelaskan melalui mesin deposit tunai (ATM) di BSN, Maybank, Alliance Bank Bhd dan Public Bank Bhd.

Bagi pengguna yang tidak mempunyai akses kepada talian internet, pembayaran bil elektrik boleh dilakukan melalui Perbankan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) BSN dan Bank Islam Berhad.

Kepada pemegang kad kredit MBF dan MasterCard, pembayaran boleh dibuat melalui MBF “CALL & PAY” di talian 088- 246633.

“Bil elektrik boleh juga dijelaskan melalui aplikasi Boost serta sebahagian Stesen Petronas, Shell, kedai 7-Eleven, Orange melalui e-Pay yang mempunyai logo SESB,” katanya.

Kepelbagaian saluran pembayaran SESB ini adalah satu usaha berterusan untuk
memenangi hati pelanggan dan memberikan perkhidmatan yang memberi nilai tambah kepada mereka.

Beliau menambah SESB juga berusaha membantu meringankan beban kos perjalanan pengguna yang tinggal jauh daripada bandar dan pekan dengan mengadakan kaunter bergerak di Pulau Bangi Kudat, Pulau Mantanani Kota Belud, Felda Sahabat Lahad Datu, Pulau Sebatik dan Pekan Kalabakan di Tawau.

Abdul Nasser berkata SESB akan terus berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan pengguna untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pengguna SESB di Sabah dan W.P Labuan.

Untuk maklumat lanjut berhubung pelbagai kaedah mudah bagi membayar bil elektrik, sila layari laman web www.sesb.com.my.-SabahNewsToday