Pilih Bahasa

SESB senggara Menara Talian Penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud diancam hakisan tanah

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kini sedang melaksanakan kerja-kerja pembaikan beberapa buah menara Talian Penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud iaitu talian utama grid Sabah yang menyalurkan bekalan tenaga ke pantai timur Sabah.

Kerja pembaikan perlu dilakukan segera disebabkan hakisan tanah.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Norhizami Abu Hasan berkata hakisan tersebut telah dikesan melalui pemeriksaan udara berkala yang kerap dilakukan oleh SESB.

Kerja-kerja pembaikan tersebut telah bermula pada hari Selasa lalu dan dijangka mengambil masa selama dua minggu untuk siap sepenuhnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan memakan sedikit masa kerana  hanya satu litar dapat ditutup untuk kerja pengalihan pada satu masa untuk mengelakkan  gangguan bekalan ke pantai timur Sabah.

“Ini memandangkan talian dua litar ini adalah satu-satunya talian tunggal yang amat diperlukan untuk membekalkan tenaga mencukupi ke pantai timur Sabah pada masa ini sementara menunggu perlaksanaan projek talian 275kV Southern Link yang merupakan talian kedua merentasi negeri Sabah yang baru-baru ini telah diluluskan oleh kerajaan pusat,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata kebarangkalian untuk bekalan elektrik terjejas di Bahagian Pantai Timur Negeri Sabah adalah tinggi dengan hanya satu sahaja litar 275kV yang beroperasi selama henti-tugas ini dijalankan.

Menurut beliau, kerja-kerja pembaikan harus dilaksanakan dengan segera yang mana melibatkan kerja-kerja pengalihan serta pembinaan baharu beberapa menara 275kV.

Langkah interim telah juga diambil iaitu pelaksanaan kaedah sementara perlindungan cerun bagi mengelakkan menara sedia da runtuh akibat hakisan tanah tersebut.

“Pihak SESB bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan memastikan pemulihan bekalan dilaksanakan dengan cepat sekiranya berlaku gangguan bekalan.

“Pihak SESB juga telah mengarahkan semua anggota kerja teknikal yang bertugas supaya bersiap sedia ke atas sebarang kemungkinan yang bakal berlaku,” katanya.-SabahNewsToday