Pilih Bahasa

SESB sumbang RM1juta kepada KKM Sabah

KOTA KINABALU- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan menyumbang sejumlah RM1 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sabah.

Inisiatif ini dilaksanakan ekoran daripada kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan KKM yang menubuhkan satu kumpulan kolaborasi digelar ‘Corporate Malaysia Against COVID-19 Action Coalition’ baru-baru ini.

Abdul Nasser Abdul Wahid. Gambar Fail SNT

SESB sebagai anak syarikat TNB akan turut sama dalam usaha ini dengan memberikan
sumbangan sejumlah RM1 juta dan sokongan tersebut juga merupakan sebahagian inisiatif SESB dalam usaha membantu memerangi pandemik Covid-19 yang telah semakin menular di Malaysia khususnya di negeri Sabah.

Pemangku Pengarah Urusan SESB, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata dalam satu kenyataan media.

“Hari demi hari kita dikhabarkan dengan berita yang sungguh menyedihkan apabila angka rakyat Malaysia yang positif Covid-19 semakin meningkat dan SESB memahami kepentingan agar sumber hospital kerajaan sentiasa mencukupi untuk menangani jumlah peningkatan pesakit Covid-19,” katanya.

Menurut Abdul Nasser adalah diharapkan dengan sumbangan tersebut ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban pembelian peralatan perubatan dan kesihatan yang diperlukan KKM untuk memerangi wabak Covid-19 ini.

“Usaha memerangi Covid-19 adalah usaha kita bersama dan ini adalah masa yang kritikal untuk kita sama-sama tampil membantu,” katanya lagi.

Beliau turut berkata bahawa keputusan SESB memberikan sumbangan adalah salah satu usaha untuk menghargai sokongan yang diberikan selama ini oleh para pengguna SESB khasnya dan orang awam di Sabah dan Labuan, amnya.

Kumpulan kolaborasi ‘Corporate Malaysia Against COVID-19 Action Coalition’ adalah
merupakan satu inisiatif TNB bersama KKM dalam usaha menarik syarikat-syarikat korporat untuk sama-sama berganding bahu membantu KKM menghadapi Covid-19.-SabahNewsToday