Pilih Bahasa

(Kemaskini) Shafie kekal Ketua Menteri Sabah

Oleh Chris Maskilone

Shafie dikerumuni oleh pemberita selepas keluar dari bilik mahkamah. Gambar SNT/Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi hari ini menolak Saman Pemula Tan Sri Musa Aman yang mencabar perlantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri.

Hakim Datuk Yew Jen Kie turut menolak Saman Pemula ADUN Tamparuli Datuk Jahid Jahim yang mencabar perlantikan kabinet negeri yang dilantik oleh Shafie.

Beliau juga mengarahkan Musa dan Jahid membayar kos masing-masing berjumlah RM30,000 dan RM15,000 dibahagi sama rata kepada Shafie dan TYT Tuan Yang Di Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Yew mengambil masa selama satu setengah jam untuk menghuraikan penghakiman beliau sepanjang 47 mukasurat itu.

Shafie serta keseluruhan ahli kabinet negeri hadir di Mahkamah mendengar keputusan tersebut.

Musa sebagai plaintif dalam Saman Pemula yang difail pada 8 Jun lalu mendakwa beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah dan mempertikaikan perlantikan Shafie untuk menggantikan beliau disebabkan tindakan TYT untuk melantik Shafie bertentangan dengan perlembagaan Sabah.

Beliau menamakan Tun Juhar sebagai defendan pertama dan Shafie sebagai defendan kedua.

Menurut Yew, isu utama yang harus diputuskan oleh mahkamah adalah samaada TYT telah bertindak dalam bidang kuasa beliau semasa  menggantikan Musa dengan Shafie dan samaada tindakan TYT melantik Shafie sebagai Ketua Menteri baharu itu bertentangan dengan Perlembagaan Sabah.

Dalam keputusannya, Yew menyatakan bahawa Musa telah kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila 6 orang ADUN BN Sabah bertindak keluar untuk menyokong Shafie dengan menandatangani Surat Akuan Sumpah.

Menurutnya, keenam ADUN terbabit tidak membuat kesalahan berbohong atas sumpah walaupun pada awalnya telah menandatangani surat menyatakan sokongan terhadap Musa sebagai Ketua Menteri.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melambai kearah jurugambar ketika beredar dari Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu selepas mahkamah memutuskan pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah adalah sah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Kata Yew lagi surat-surat tersebut bukanlah Surat Akuan Sumpah.

Amat jelas bahawa kerusi BN Sabah berkurangan daripada 29 kepada 23 apabila enam ADUN ini beralih sokongan kepada Shafie, katanya.

Akibatnya, kerusi pihak Shafie bertambah dari 29 kepada 35.

“Pada 10 Mei, plaintif (Musa) mempunyai 29 ADUN dan kemudian bertambah menjadi 31 selepas kemasukan wakil dari Star untuk mendapatkan majoriti mudah. Kemudian beliau dilantik sebagai Ketua Menteri pada jam 11 malam hari tersebut.

“Tetapi pada 11 Mei, TYT menerima enam keping Surat Akuan Sumpah dari enam ADUN BN Sabah menyatakan sokongan kepada Shafie sebagai Ketua Menteri.

“Berdasarkan Surat Akuan Sumpah keenam ADUN ini, TYT yakin bahawa Musa sudahpun kehilangan kepercayaan daripada majoriti ahli DUN.

“Atas dasar ini maka satu pertemuan telah dibuat di Istana Negeri di mana TYT meminta Musa untuk meletak jawatan tetapi Musa enggan berbuat demikian.

“Berdasarkan peruntukan Artikel 7 (1) Perlembagaan Sabah, keengganan Musa untuk menyerahkan surat perletakan jawatan ahli kabinetnya, termasuk diri sendiri sebagai Ketua Menteri, adalah dianggap jawatan mereka masing-masing telah dikosongkan.

“Oleh sebab itu, TYT seterusnya melantik Shafie sebagai Ketua Menteri berdasarkan peruntukan Artikel 6(3) yang dibaca bersama dengan Artikel 10(2) (a) Perlembagaan Sabah,” kata Yew.

Yew juga berkata hujah pihak plaintif bahawa BN Sabah telah bertanding sebagai sebuah parti politik semasa PRU14 tidak kukuh.

“BN Sabah adalah gabungan politik yang terdiri daripada banyak parti politik. Walaupun ianya adalah satu entiti berdaftar dan calon mereka berdiri atas simbol BN Sabah dalam PRU14 tetapi ia bukanlah suatu parti politik,” katanya.

Menurut Yew, keadaan ini serupa dengan gabungan yang diketuai oleh Shafie walaupun gabungan itu bukan berdaftar sebagai satu entiti dan calonnya bertanding menggunakan simbol parti masing-masing.

Yew juga menolak hujah pihak plaintif supaya perkataan ‘majoriti’ dalam Artikel 6(7) Perlembagaan Sabah diertikan sebagai ‘majoriti relatif’ atau ‘paling banyak’ dan bukannya ‘majoriti sebenar’.

Makna biasa bagi ‘majoriti’, kata Yew adalah jumlah yang lebih besar atau pun lebih dari separuh.

“Ini adalah kenyataan. Tiada satupun parti politik yang telah memenangi majoriti daripada 60 kerusi negeri. Oleh itu, Artikel 6(7) tidak terpakai apabila TYT menggunakan kuasanya untuk melantik Ketua Menteri dibawah Artikel 6(3) Perlembagaan Sabah,” katanya.

Yew berkata usul undi tidak percaya di  DUN bukanlah satu-satunya cara bagi TYT menentukan samaada seseorang Ketua Menteri itu telah hilang kepercayaan majoriti ahli DUN.

Bersandaran kepada kes Dato Sri Ir Hj Mohammad Nizar Jamaluddin v Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir ataupun Kes Perak pada tahun 2010, Mahkamah Persekutuan telah menetapkan prinsip perundangan bahawa kelulusan usul undi tidak percaya di DUN bukanlah satu keperluan mandatori bagi penentuan seseorang Ketua Menteri telah kehilangan kepercayaan majoriti ahli DUN.

“Fakta (penentuan) tersebut boleh diperolehi melalui sumber lain,” katanya.

Dalam kes Sabah, Yew berkata surat Surat Akuan Sumpah ADUN BN Sabah yang beralih sokongan kepada defendan kedua (Shafie) merupakan sumber lain yang boleh dipertimbangkan oleh TYT.

Hal ini turut dinyatakan dalam kes Datu Amir Kahar Tun Mustapha v Tun Mohd Said Keruak (TYT Sabah) pada tahun 1995 bahawa bukti seseorang Ketua Menteri telah kehilangan kepercayaan majoriti ahli DUN boleh didapati daripada sumber lain yang sahih.

Dalam saman ini, menurut Yew memandangkan pihak plaintif tidak mempertikaikan Surat Akuan Sumpah ADUN BN Sabah itu maka ia adalah dianggap sebagai sumber lain yang sahih.

“Walaupun Perak dan Sabah berbeza memandangkan Perak mempunyai Sultan dengan kuasa mutlak sendiri manakala Sabah pula mempunyai TYT yang mempunyai kuasa melantik Ketua Menteri tertakluk kepada Artikel 10(2)(a), prinsip perundangan yang dijelaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam Kes Perak boleh digunapakai dalam pertikaian sekarang,” katanya.

Kedua-dua kes melibatkan isu yang sama yakni siapakah Ketua Menteri yang sah dan Artikel XVI (6) Perlembagaan Perak adalah ‘paramateria’ (sama) dengan Artikel 7(1) Perlembagaan Sabah, katanya.

Menurut Yew, isu bahawa tindakan TYT telah memecat Musa dan ini bertentangan dengan perlembagaan tidak timbul langsung kerana seluruh jawatan ahli kabinet termasuk ketua menteri adalah dianggap kosong apabila ketua menteri enggan meletak jawatan setelah hilang kepercayaan majoriti ahli DUN.

Dengan kekosongan jawatan ahli kabinet negeri dan ketua menteri maka TYT melantik Shafie untuk menggantikan Musa berdasarkan Artikel 6(3) Perlembagaan Sabah, kata Yew.

Di hadapan Mahkamah, perkara ini bukanlah sekadar akademik walaupun pada 11 Jun lalu, seramai 44 ADUN telah meluluskan usul undi percaya kepada Shafie.

“Ianya melibatkan isu perlembagaan mengenai perlantikan defendan kedua (sebagai ketua menteri) dan Mahkamah harus membuat keputusan untuk menyelesaikannya memandangkan ia melibatkan kepentingan awam.

“Berdasarkan sebab-sebab diatas, OS 56 (Saman Pemula Musa) ditolak dan dengan itu OS 57(Saman Pemula Jahid) seharusnya juga ditolak,” katanya.

Musa diwakili oleh Tengku Fuad Ahmad dan S Vanugopal manakala Shafie diwakili oleh Senator Datuk Douglas Lind.

Peguam Besar Negeri, Datuk Zaleha Rose Pandin bertindak untuk Tun Juhar.-SabahNewsToday