Pilih Bahasa

Shafie Terima Kunjungan Pengerusi MICCI Sabah

Wong (lima dari kiri) diiringi para rombongannya sedang menyampaikan cenderakenangan kepada Shafie (enam dari kiri). Gambar SNT/Ehsan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Cawangan Sabah (MICCI), Datuk Seri Wong Khen Tau di sini, pada Jumaat.

Mengenai tujuan kunjungan, Wong berkata adalah untuk menerangkan peranan MICCI dalam membantu Kerajaan Negeri untuk usaha memajukan industri dan sektor perkhidmatan di Sabah.

“Beberapa penambahbaikan harus dilakukan dalam pelbagai aspek iaitu antaranya kos menjalankan perniagaan di Sabah perlu dikurangkan kerana itu penting untuk mempunyai persaingan dalam persekitaran yang kondusif agar pelaburan masuk ke negeri ini.

“Sabah perlu ada perancangan masa depan yang baik agar kita setanding dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

“Perkara ini patut diberi penekanan utama jika tidak, kita akan masih bercakap perkara yang sama dan ketinggalan,” katanya semasa ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat.

Beliau berharap aspek lain seperti pembangunan sumber manusia, infrastruktur dan sistem penyampaian perkhidmatan awam diberi penekanan dengan lebih cekap pada masa akan datang.

“Pihak MICCI sentiasa ingin bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri terutama Expo Antarabangsa Sabah pada tahun depan,” tambahnya.-SabahNewsToday/Jabatan Penerangan Sabah