Pilih Bahasa

Shareda jual 1,757 unit rumah bernilai RM958 juta sepanjang HOC 2019

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) berjaya menjual sebanyak 1,757 unit rumah bernilai RM958 juta sepanjang Kempen Pemilikan Rumah Mampu Milik (HOC) 2019.

Presidennya, Datuk Chew Sang Hai berkata ia adalah pencapaian terbesar persatuan itu sekiranya hendak dibandingkan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) di Semenanjung serta Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (Sheda).

Chew (kanan) ketika sidang media memaklumkan pencapaian berkaitan HOC 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

“Jumlah kediaman dijual ini adalah sebahagian daripada 5,158 unit rumah yang didaftarkan dalam kempen terbabit.

“Menerusi bilangan rumah didaftarkan itu, 352 rumah sudah siap sepenuhnya manakala 4,806 unit masih dalam proses pembinaan.

“Kota Kinabalu menunjukkan penjualan rumah tertinggi bagi kempen ini iaitu 812 unit dengan nilai keseluruhan RM501 juta. Jumlah ini melibatkan penjualan kediaman jenis ‘landed’ sebanyak 321 unit bernilai RM237 juta selain 491 rumah jenis strata berjumlah RN264 juta.

“Bilangan penjualan kediaman kedua tertinggal sepanjang HOC adalah Tawau berjumlah 333 unit landed bernilai RM136 juta manakala Sandakan daerah ketiga terbanyak menunjukkan penjualan rumah iaitu 168 unit bersamaan RM86.1 juta.

“Jualan kediaman di Tuaran turut menunjukkan bilangan sama iaitu 168 unit namun berbeza nilai keseluruhan sebanyak RM58.4 juta manakala sebanyak 123 unit rumah berjaya dijual di daerah Penampang dengan nilai semua hartanah berjumlah RM88.1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media khas bagi memaklumkan hasil keseluruhan penjualan rumah yang dicapai untuk HOC 2019, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Chew menyatakan pihaknya bercadang untuk meluaskan pelaksanaan kempen sama untuk setahun lagi sebagai salah satu strategi rangsangan ekonomi kepada Majlis Kewangan Negara berikutan wabak Covid-19.

“Kita ingin menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Sabah dan pelan awal 2020 adalah untuk melancarkan Program Sokongan Home Shareda (SHOP) dari 1 Mac hingga akhir tahun ini namun program berkenaan berkemungkinan ditangguhkan sehingga 1 April berikutan perintah sekatan pergerakan.

“Salah satu syarat untuk menyertai program ini adalah anggota mesti memberi insentif sebanyak mungkin kepada pembeli.

“Kita menggesa semua ahli Shareda untuk terus memberikan insentif kepada pembeli untuk menggalakkan pemilikan rumah.

“Sebagai sebahagian daripada kami, Shareda akan menjalankan promosi jualan mega yang akan diiklankan di akhbar dan media sosial,” katanya.

Sementara itu, Chew mencadangkan kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan agar menyediakan fleksibiliti kepada pemaju terutamanya dari segi mengurangkan kos operasi seperti cukai dan utiliti termasuklah air serta elektrik semasa pandemik yang sedang berjalan.–SabahNewsToday