Pilih Bahasa

Shopee Piala FA 2019: Skuad Tambadau Sabah harus manfaatkan prestasi baik

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah memulakan kempen Shopee Piala FA 2019 dengan berdepan pasukan Liga M3 (Divisyen 3) Kelantan United FC di Stadium Sultan Mohammad IV, Kelantan pada Rabu ini.

Pemangku Presiden Safa Datuk Peter Anthony meminta skuad Tambadau Sabah memanfaatkan prestasi baiknya dalam saingan liga sekarang untuk lepasi halangan pada pusingan kedua Shopee Piala FA ini.

Datuk Peter Anthony . Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya yakin kita mampu lepasi pusingan kedua ini, bukan kerana lawan adalah dari saingan Divisyen 3 tetapi kerana prestasi pasukan kini di tahap baik. Prestasi baik dalam saingan liga ini perlu dimanfaatkan untuk saingan Piala FA.

“Kita akan memberi layanan sama kepada semua pertandingan yang disertai dalam Liga Malaysia termasuklah Piala FA ini,” katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Tambadau Sabah kini merupakan pendahulu carta Liga Premier selepas mengumpul 14 mata dari tujuh perlawanan dengan rekod empat menang dan dua seri dalam enam perlawnan terakhir selepas kalah perlawanan pertama.

Kelantan United pula kini ditangga ketiga carta LM3 selepas mengumpul enam mata dari tiga perlawanan dengan rekod dua menang dan satu kalah.

Peter percaya, barisan jurulatih yang diketuai Jelius Ating sudah ada rencana terbaik dan pemain juga sudah bersedia sepenuhnya menghadapi Kelantan United.

“Saya yakin kita boleh menang walaupun bermain di tempat lawan dengan syarat pemain memberikan persembahan terbaik tanpa memandang rendah lawan,” kata Peter.

Sebagai rekod Sabah tersingkir di tangan skuad Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan kedua saingan itu musim lalu. 

Pencapaian terbaik Sabah dalam pertandingan itu ialah muncul juara pada 1995 yang juga merupakan final ketiga pasukan Sabah berturut-turut.

Sabah tewas kepada Kuala Lumpur pada pertandingan akhir 1993 dan 1994.

Pencapaian terbaik selepas itu ialah muncul naib juara 1998, kalah kepada Johor. -SabahNewsToday