Pilih Bahasa

Show terakhir …

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: “Show (persembahan) terakhir.”

Itulah antara kata-kata terakhir Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya AR Badul, 36, yang meninggal dunia selepas tertembak oleh rakannya sendiri di Padang kawad Kem Lok Kawi, Putatan, hari ini.

Rusunjan Mohd ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Ayat itu dikongsikan Allahyarham kepada ibunya Rusunjan Mohd, 56, menerusi aplikasi WhatsApp malam tadi sebelum melakukan demonstrasi sempena Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia.

Rusunjan berkata dia mendapat berita duka itu ketika berada di pasar selepas dihubungi oleh pihak Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Malam tadi Allahyarham ada menghubungi saya dan memberitahu akan membuat persembahan sempena Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia dan memberitahu itu adalah slow terakhirnya.

“Saya ada menasihatinya supaya sentiasa berhati-hati. Saya sebagai ibu redha dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Katanya, pagi sebelum kejadian kira-kira jam 7, Allahyarham da menghubunginya untuk pulang ke Kampung Indai, Tuaran.

“Allahyarham ada menghubungi saya untuk datang ke rumah selepas hampir tujuh tahun tidak pulang ke kampung.

“Arwah juga memberitahu hendak ke pasar selepas membuat persembahan pada petang bagi membeli buah-buahan untuk makan bersama keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Rusunjan memberitahu jenazah Allahyarham akan diterbangkan ke Semenanjung untuk dikebumikan di Perak atas permintaan isterinya.

Sementara itu, bapa saudara Allahyarham, Mirdat Mohd, 54, berkata, dia dan keluarga redha dengan apa yang berlaku namun meminta pihak TDM dan polis menjalankan siasatan terperinci mengenai insiden yang berlaku itu.

“Jika ada kesilapan atau kecuaian, saya minta diadili dengan tulus.. bukan apa kita elak perkara ini berulang,” katanya.-SabahNewsToday