Pilih Bahasa

Siasatan kematian Mejar mohd zahir hampir selesai – omar

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis sudah mengambil keterangan beberapa individu termasuk seorang anggota tentera bagi membantu siasatan berhubung insiden kematian anggota komando Angkata Tentera Malaysia (ATM), Mejar Mohd Zahir Armaya ketika aksi demonstrasi di Kem Lok Kawi, Putatan, Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, anggota tentera berusia 36 tahun itu adalah sebahagian anggota dalam menjayakan gimik demonstrasi berkenaan.

Omar Mammah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita sudah mengambil keterangan daripada anggota tentera dari Semenanjung untuk melengkapkan siasatan.

“Selain itu, beberapa individu turut diambil keterangan yang dipercayai terbabit dalam insiden berkenaan,” katanya ketika di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya sama ada terdapat unsur jenayah berhubung insiden itu, Omar berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai sesuatu yang tidak disengajakan.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan dan saya tidak boleh mendedahkan butiran lanjut buat masa ini kerana siasatan masih dibuat,” jelasnya.

Majer Mohd Zahir

Terdahulu, Allahyarham Mejar Zahir maut terkena tembakan ketika melakukan gimik demonstrasi Pelancaran Divisyen Ke-5 dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, Rabu lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 pagi apabila Allahyarham berlakon sebagai pengganas dengan lengkap memakai baju kalis peluru dan ditembak.

Tembakan itu menyebabkan Mohd Zahir rebah sebelum dua anggota tentera membawanya ke tepi padang kawad dan kelihatan menahan kesakitan sambil darah keluar daripada mulut dan hidung.

Mejar Zahir kemudian diberi bantuan kecemasan oleh anggota tentera sebelum dikejarkan ke HQE I menggunakan ambulans.

Bagaimanapun Mohd Zahir disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi di Jabatan Forensik HQE I.-SabahNewsToday