Pilih Bahasa

Siasatan SPRM dapati pemberian wang tiada kena mengena dengan PRK Kimanis

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) mengesahkan gambar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberi wang secara adalah di Sandakan.

Pengarah SPRM negeri, S Karunanithy berkata dakwaan berkaitan gambar itu yang menyatakan ia berlaku di Kimanis adalah tidak benar.

“Berhubung gambar yang ditular di media sosial baru-baru ini yang mendakwa Ketua Menteri Sabah memberi wang secara terbuka sempena PRK Kimanis, SPRM Sabah telah menerima maklumat daripada orang awam dan telah membuat siasatan awal berhubung isu tersebut.

“Berdasarkan siasatan awal, SPRM Sabah mendapati kejadian tersebut sebenarnya berlaku pada 3 Januari 2020 di Sandakan bersempena dengan program Pecah Tanah Pembesaran Lapangan Terbang Sandakan dan bukannya di Kimanis,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pengesahan daripada SPRM itu sekaligus menepis dakwaan negatif oleh pihak tidak bertanggungjawab terhadap Mohd Shafie yang menggunakan media sosial untuk memburukkan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Dalam pada itu, SPRM Sabah juga mendapati kejadian itu merupakan program sedekah kepada orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Datuk Pangeran Galpam Sandakan yang disempurnakan oleh Mohd Shafie. – SabahNewsToday