Pilih Bahasa

Sidang Parlimen Sehari: Alasan elak Covid-19 tidak munasabah, seolah-olah K’jaan Pusat takut berdepan dengan Ahli-Ahli Parlimen

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman berkata Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya menjadikan Covid-19 sebagai alasan bagi Dewan Rakyat bersidang hanya satu hari pada Isnin depan.

Lagi mengecewakan, katanya apabila aturcara persidangan pada 18 Mei nanti hanyalah untuk mendengar Titah Yang Di-Pertuan Agong.

Datuk Mohd Azis Jamman. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Mengapa kerajaan takut untuk meneruskan sidang Parlimen setidak-tidaknya selama tiga hari sebagaimana Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah yang bersidang selama tiga hari tanpa seorang pun ahli-ahli dewan undangan negeri yang di dapati positif Covid-19,” kata Mohd Azis.

Beberapa negeri lain juga dapat mengadakan sidang Dun masing-masing (lebih daripada sehari) tanpa sebarang masalah, katanya.

“Malah, ada Kerajaan negeri yang berupaya sehingga menukar Speaker Dun mereka tetapi mengapa Kerajaan Persekutuan menggunakan pelbagai alasan seolah-olah ingin mengelak dari berhadapan dengan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Peranan Parlimen bukan sekadar mendengar Titah Diraja tetapi lebih penting lagi membincangkan isu melibatkan masalah negara sekaligus menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat pada hari ini, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pemakluman daripada Dewan Rakyat bahawa persidangan pada 18 Mei adalah hanya untuk sehari iaitu bagi mendengar Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, jika Kerajaan Pusat berani melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam skala besar maka bukanlah sukar jika dibandingkan hanya ada seramai 222 Ahli Parlimen yang akan bersidang.

Mohd Azis berkata kesemua Ahli Parlimen turut diwajibkan untuk menjalani saringan Covid-19 pada 14 dan 15 Mei sebelum dibenarkan menghadiri persidangan yang dijadualkan pada 18 Mei.

Katanya sesi Parlimen pertama untuk tahun ini tidak seharusnya dihadkan kepada satu hari agar membolehkan perkara-perkara berkaitan keperluan rakyat dapat dibincangkan.

Beliau berkata persidangan kali ini juga merupakan peluang terbaik buat Tan Sri Muhyiddin Yassin menutup mulut mereka yang mempertikaikan legitimasi beliau sebagai Perdana Menteri.

Namun, dengan mengadakan persidangan hanya untuk satu hari sahaja telah menguatkan lagi sentimen ramai bahawa kesahihan kerajaan pusat pada hari ini boleh dipersoalkan, katanya.

Menurutnya mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi di dunia, ketua kerajaan adalah yang mempunyai sokongan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen.

“Jika kerajaan mempunyai sokongan yang cukup, mengapa perlu takut berhadapan dengan Ahli-Ahli Parlimen … Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh mengambil peluang untuk membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti ahli dewan rakyat melalui persidangan Parlimen pada kali ini,” katanya.

Baru-baru ini, dilaporkan Speaker Parlimen Tan Sri Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof telah menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri oleh Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dibentangkan.

Dalam pada itu, Mohd Azis mencadangkan persidangan Parlimen pada 18 Mei ini dilakukan menggunakan aplikasi ‘Zoom’ sekiranya agenda pada hari itu diteruskan hanya bagi mendengar Titah Yang Di-Pertuan Agong.

“Ahli Parlimen hanya duduk rumah sambil mendengar titah Yang Di-Pertuan Agong melalui aplikasi Zoom ataupun siaran langsung supaya tidak menyusahkan Ahli Parlimen khususnya yang datang daripada Sabah kerana berisiko dijangkiti Covid-19 ketika di Lapangan Terbang,” katanya.

Mohd Azis mendakwa perkembangan terkini ini merupakan hari yang gelap bagi Parlimen Malaysia dan menunjukkan demokrasi sudah parah di negara ini.

Mohamad Ariff dilaporkan hari ini berkata beliau telah menerima surat pemakluman ditandatangani Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis bahawa pihak kerajaan memutuskan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang akan berlangsung selama sehari itu, dipinda dengan urusan mesyuarat berkenaan.

Menurut beliau Titah Diraja itu bermula pada pukul 10 pagi dengan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang serentak.-SabahNewsToday