Pilih Bahasa

SIKAP PEMAIN PUNCA TEWAS, JURULATIH KECEWA KEKALAHAN SABAH

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jurulatih bola sepak Sabah, Jelius Ating. – Gambar SNT / Ehsan Raymond Henry Gusi

KOTA KINABALU: Kegagalan skuad Sabah ditangan Johor Darul Ta’zim II (JDTII) untuk meraih sekurang-kurang satu mata dalam perlawanan pembuka tirai di Stadium Likas semalam amat mengecewakan.

Malah, Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating sendiri mengakui kekalahan itu disebabkan sikap dan kelalaian pemain terutama pada babak kedua perlawanan sehingga memberikan ruang kepada pasukan lawan menjaringkan gol.

“Bagi saya perlawanan pertama semalam kurang memuaskan. Di separuh masa pertama kita bermain cukup baik dan menguasai permainan. Kita bagi tekanan dan tidak beri JDT II peluang pegang bola.

“Namun bila masuk masa kedua pula permainan kita sudah berubah dan longgar. Pemain agak lalai dan ini membolehkan mereka (JDT II) mengambil kesempatan dan akhirnya ia memberi tekanan kepada pemain Sabah.

“Satu perkara yang saya lihat di sini, bukan disebabkan pemain kita tidak cukup bagus tetapi disebabkan sikap yang tidak betul. Mereka tidak mengekalkan satu sikap bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Begitupun Jelius enggan menuding jari kepada mana-mana pemain tetapi memberikan peringatan kepada mereka bahawa untuk memenangi sesuatu perlawanan pemain Sabah perlu memiliki corak permainan yang konsisten.

Jelas beliau lagi walaupun perjalanan Liga Perdana masih panjang, pemain perlu bangkit daripada kekalahan itu dan segera memperbaiki segala kelemahan mereka.

“Satu gol pun memadai untuk memenangi perlawanan ini. Kita tidak perlu banyak gol untuk menang jika boleh mengekalkan permainan yang baik.

“Masalahnya malam ini (semalam), selain gagal menyudahkan peluang yang ada untuk menambah jaringan, kita juga tidak dapat mengekalkan permainan yang baik untuk mempertahankan satu gol itu,” ujarnya.

Ditanya mengenai baki satu kuota pemain import yang belum diisi, Jelius berkata perkara itu masih diusahakan dan beliau berharap akan mendapat pemain yang boleh mengatasi masalah penyudah pasukan.

Perlawanan semalam menyaksikan Sabah lebih awal mendahului hasil jaringan 1-0 menerusi pemain import dari Serbia, Luka Milunovic pada minit ke-13.

Bersambung babak kedua JDT II bangkit dengan dua gol hasil jaringan Mohamad Ghaddar pada minit ke-63 sebelum Md Rozaimi Abd Rahman menambah duka Sabah apabila menjaringkan gol pada minit ke-83.

Sabah akan meneruskan cabaran menentang Kelantan di tempat lawan pada 8 Februari depan. – SabahNewsToday