Pilih Bahasa

Silaturahim pengakap terjalin di World Jamboree Jota Joti SK Sri Gaya

Oleh Mohd Adam Arinin

Mohammad Arif (tengah) merakamkan gambar bersama pemimpin pengakap dan ahli pengakap selepas merasmikan majlis perasmian penutupan perkhemahan Jota Joti 2019 di SK Sri Gaya. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seramai 319 anggota Pengakap, Pandu Puteri dan Puteri Islam dari 13 buah sekolah rendah dan menengah sekitar Sembulan berjaya menyertai perkhemahan World Jamboree Jota Joti Tahun 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Sri Gaya, Mohamad Arif Tun Sakaran berkata acara tahunan  anjuran World Organization of Scout Movement (WOSM) bertujuan untuk menggalakan ahli pengakap dari seluruh dunia berhubung antara satu sama lain menggunakan radio amatur (Jota) dan internet (Joti).

“Melalui pelaksanaan ini diharapkan perhubungan silaturrahim antara mereka (pengakap) bertambah erat dengan bermulanya perbualan pertama melalui gelombang radio seterusnya kepada rangkaian persahabatan yang lain.

Mohammad Arif menyampaikan ucapan pada majlis perasmian penutupan perkhemahan Jota Joti di SK Sri Gaya. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pendedahan kepada teknologi radio amatur juga diharapkan dapat menimbulkan minat dalam bidang teknologi dan elektronik agar dapat dibangunkan menjadi ilmu yang berguna kepada para peserta pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Perkhemahan Sedunia Jota Joti Tahun 2019 di SK Sri Gaya, di sini hari ini.

Dalam ucapanya beliau turut menasihatkan peserta perkhemahan agar  sentiasa mengejar kecemerlangan dalam apa juga bidang yang diceburi pada masa akan datang.

“Jika pelajar itu kurang ilmu dan mempunyai nilai peribadi yang rendah serta sering melanggar disiplin sekolah, ia akan membawa kepada keruntuhan negara pada masa hadapan.

Mohammad Arif (duduk, tengah) mencuba alat perhubungan radio amatur sebagai simbolik perasmian penutupan perkhemahan Jota Joti 2019 di SK Sri Gaya. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Oleh itu, peliharalah akhlak dan disiplin anda sepanjang masa bagi menjamin keutuhan dan kecemerlangan anda sebagai pelajar. Saya juga berharap para peserta memanfaatkan ilmu yang dipelajari daripada perkhemahan ini. 

“Segala pengalaman yang anda lalui selama tiga hari di sini adalah untuk tujuan pendidikan dan pembangunan kerjaya sebagai seorang pelajar,” katanya.

Sepanjang perkhemahan jambori ini dijalakann, ahli pengakat didedahkan dengan pelbagai ilmu secara teori dan praktikal untuk membolehkan mereka menjadi warga yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Mohammad Arif (duduk, tengah) dibeirkan penerangan oleh ahli pengakap mengenai radio amatur yang digunakan pasukan beruniform itu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Seorang ahli pengakap yang ditemui, Mohd Aidil Bukhari Bahari, 14, berkata pendedahan yang diberikan ketika menyertai perkhemahan ini sangat berguna dan bermanfaat kepada dirinya terutama memahami dan menguasai bahasa isyarat radio antarabangsa.

“Saya dapat mempelajari bagaimana untuk memahami dan menguasai apa itu bahasa bahasa isyarat tersebut. Saya juga teruja mendapat tahu nama saya dari bahasa ini iaitu, Alpha India Delta India Lima.

“Selain itu saya juga dapat menjalin hubungan saya kepada seluruh pengakap di dunia ini contohnya di Sweden,  Australia dan juga Korea Utara. Syukur pada hari ini saya dapat mengikuti jambori ini dan saya berharap tahun hadapan, saya akan berjumpa lagi dan meneruskan aktiviti aktiviti seperti ini,” kata pelajar tingkatan dua di Maktab Sabah itu.

Mohd Aidil Bukhari Bahari. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Bagi pelajar SK Sri Gaya pula, Khadeeja Asyari, beliau berkata banyak pengalaman diperolehinya sepanjang perkhemahan ini.

“Sepanjang perkhemahan jambori yang berlangsung selama tiga hari ini, saya telah mempelajari benda benda yang boleh membantu saya seperti kecemasan dan membuat kenalan baharu melalui internet dan mengenali ahli pengakap dari sekolah yang lain,” ujarnya. – SabahNewsToday