Pilih Bahasa

Simpan impian berduet dengan Siti Nurhaliza

Oleh Mohd Nazllie Zainul

PENAMPANG: Penyanyi Indonesia kian meningkat naik, Andmesh Kamaleng tidak menolak berduet bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekiranya diberi peluang.

Ditemui sempena konsert Andmesh Kamaleng Live In Kota Kinabalu, Sabtu lalu, Andmesh berkata menghasilkan lagu duet atau membuat persembahan bersama Siti Nurhaliza ibarat impian semua penyanyi di Malaysia mahupun Indonesia.

Andmesh Kamaleng. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Siapa yang tidak mahu bekerjasama dengan ‘living legend’ seperti Siti. Jika diberikan rezeki dan peluang, saya juga mahu berduet bersama beliau.

“Penyanyi di Indonesia sendiri juga sudah banyak yang menghasilkan lagu duet dengan kak Siti.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada pihak pengurusan, syarikat rakaman dan sebagainya

“Sekiranya impian ini terlaksana, saya individu paling gembira. Mohon juga doa daripada semua sahabat dan peminat Andmesh walau di mana sahaja berada,” katanya baru muncul dengan album sulung berjudul Cinta Luar Biasa.

Lebih seribu peminat Andmesh hadir di konsert julung penyayi Cinta Luar Biasa itu di Malaysia, Sabtu lalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ditanya mengenai perasaannya tentang lagu Cinta Luar Biasa yang dinyanyikan semula oleh artis kesayangan serantau itu di laman sosial Youtube miliknya, Andmesh menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada ibu Siti Aafiyah itu kerana memilih single pertamanya untuk dinyanyikan semula dalam versi Siti Nurhaliza.

“Saya sudah mendengar banyak versi nyanyian semula lagu Cinta Luar Biasa ini di semua platform laman sosial. Sambutan ke atas lagu ini sangat luar biasa bukan hanya dalam kalangan peminat tetapi rakan-rakan artis lainnya.

“Malah lagu ini semakin popular serta dikenali ramai khususnya di Malaysia selepas kak Siti menyanyikannya.

“Ini suatu penghormatan buat diri apabila lagu saya dinyanyikan semula oleh seorang nama besar di arena muzik serantau serta dikenali banyak negara.

“Saya berterima kasih kerana kak Siti secara tidak langsung sudah membantu mempromosikan lagu Cinta Luar Biasa,” katanya yang kini popular menerusi lagu Hanya Rindu.

Sementara itu, menyatakan perkembangan seni terkininya, Andmesh berkata dia kini dalam rangka mempromosikan album pertama yang baharu sahaja dilancarkan di Indonesia bulan lalu.

Memuatkan sembilan buat buah lagu seperti Nyaman, Kumau Dia, Jangan Lupakan Aku, Hanya Rindu, Jangan Rubah Takdirku, Sampai Tua Nanti, Senyumlah dan Cinta Luar Biasa selain lagu Cinta Luar Biasa versi akustik.

“Album turut berjudul Cinta Luar Biasa sebagai apresiasi kerana lagu ini banyak menaikkan nama Andmesh di industri muzik Indonesia dan luar negara.

“Selain secara fizikal, album ini juga boleh didapati di semua platform digital.

“Paling istimewa album sulung ini juga akan mula memasuki pasaran Malaysia dijangka pada minggu ini.

“Saya pasti kalian akan menyukai semua lagu dalam album ini kerana lagu-lagunya dilihat mampu memotivasikan ramai orang,” katanya berharap semua peminat mahupun pencinta muzik dapat menyokong album berkenaan. -SabahNews Today