Pilih Bahasa

Sindiket godam kenderaan untuk dicuri pertama di Sabah tumpas, seorang suspek masih bebas

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sekumpulan penjenayah yang aktif melakukan jenayah curi kenderaan menggunakan teknologi canggih membabitkan kerugian hampir RM1 juta di sekitar daerah ini berjaya ditumpaskan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata kumpulan yang dianggotai seramai lima suspek terbabit aktif di sini sejak beberapa minggu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah menunjukkan alat yang digunakan suspek untuk mematikan sistem penggera kereta yang dicuri. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Suspek menggunakan sistem berkomputer yang canggih untuk menggodam sistem kunci dalam kenderaan bagi menyahaktifkan kunci dan penggera bunyi kenderaan.

“Ini merupakan tangkapan pertama di Sabah yang melibatkan curi kenderaan menggunakan kaedah seperti ini. Dan pihak polis kini giat memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai Tommy yang masih bebas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki polis. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Omar, empat daripada lima suspek yang ditahan berumur antara 32 hingga 40 tahun.

“Salah seorang suspek yang ditahan berasal dari Sabah manakala tiga yang lain dari Johor dan Selangor,” tambahnya.

Polis sedang mencari suspek untuk membantu siasatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Jelas Omar, sekurang-kurangnya sebanyak 11 buah kenderaan pacuan empat roda dilarikan kumpulan ini sejak awal Mei.-SabahNewsToday