Pilih Bahasa

SINDIKET PEMERDAGANGAN MANUSIA TUMPAS, TUJUH INDIVIDU BERJAYA DISELAMATKAN

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Tujuh individu warga Indonesia dipercayai cuba dibawa ke Kota Kinabalu untuk bekerja dalam pelbagai sektor. – Gambar SNT /Ihsan PPM Tawau

TAWAU: Seorang lelaki tempatan dipercayai dalang sindiket aktiviti pemerdagangan manusia berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) ketika cuba melakukan aktiviti terbabit di perkampungan atas air, Batu 4, Jalan Apas, di sini semalam. 

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 9.30 malam anggota polis marin di kawasan itu.

Mohamad Pajeri berkata kejayaan menyelamatkan tujuh mangsa termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun itu adalah hasil risikan selama sebulan serta berpandukan maklumat oleh Unit Risikan Marin Polis Marin.

Kenderaan pacuan empat roda yang digunakan suspek untuk menjalankan aktiviti terbabit dirampa polis marin. – Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

“Kita telah melakukan intipan dan mengekori bot yang dinaiki suspek berusia 35 tahun dari sempadan perairan sebelum menahan suspek di perkampungan terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati, suspek cuba menyeludup tujuh individu warga Indonesia termasuk kanak-kanak dan dipercayai cuba dihantar ke Kota Kinabalu untuk bekerja sebagai buruh di pelbagai sektor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohamad Pajeri berkata, PPM turut merampas kereta pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax yang digunakan suspek dalam menjalankan aktiviti berkenaan.

Katanya kes itu disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang & Antipenyeludupan Migran 2007(Pindaan 2010) serta Akta Imigresen 1959/63. – SabahNewsToday