Pilih Bahasa

Sipitang berpotensi besar menjadi pusat pengeluar makanan – Dr Yusof

Dr Yusof (tengah) membuat pelepasan kepada Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Negeri Sabah. – Foto Jabatan Penerangan

SIPITANG – Daerah Sipitang mempunyai potensi yang besar untuk menjadi pusat pengeluar makanan, destinasi pelancongan dan kawasan perindustrian di negeri ini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata ini adalah berasaskan kepada kedudukan geografinya yang strategik dan sesuai untuk perdagangan dan logistik kerana bersempadan dengan dua negara jiran, Brunei Darussalam dan Kalimatan, Indonesia, serta bersempadan dengan Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Ini akan membolehkan Sipitang menjadi bandar Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia- Filipina (BIMP-EAGA) iaitu pintu masuk ke Sabah dari Kalimantan Utara, Brunei, Sarawak dan Labuan.

“Peluang tersebut terbuka lebih luas lagi apabila Indonesia memutuskan untuk menempatkan Ibu negara Pentadbirannya di Kalimantan Timur,” katanya.

Dr Yusof (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata berupa bakul untuk mengangkat buah-buahan hasil kraftangan tradisi masyarakat Lundayeh atau Lun Bawang yang diperbuat daripada rotan kepada Shafie (tengah) sambil disaksikan isteri beliau Datin Seri Shuryani Shuaib (kanan). – Foto Jabatan Penerangan

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin berkata, ini diperkukuhkan lagi dengan berkat kekayaan sumber alam semulajadi seperti flora dan fauna, tanah yang subur, pusat industri minyak dan gas serta penduduknya berbilang kaum dan budaya yang bersatu padu dan rajin berusaha.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Festival Buah-Buahan Sipitang yang disempunakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, pada Khamis.

Tambahnya, Penganjuran festival buah-buahan ini tepat pada masanya bukan sahaja sebagai tarikan pelancongan tetapi merupakan satu daripada usaha merelasisikan potensi daerah ini sebagai Pusat Pengeluar Makanan kepada Negeri Sabah dan juga jiran kita iaitu Brunei Darussalam, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kalimantan, Indonesia.

Dr Yusof menurunkan tanda tangan pada buku lawatan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Jabatan Penerangan Negeri Sabah di Dataran Esplanade Sipitang. – Foto Jabatan Penerangan

“Pada masa ini tanah seluas 7,214.41 hektar telah diusahakan untuk sektor pertanian.

“Sebahagian besar daripadanya ditanam dengan buah-buahan (1,490 hektar), padi (711 hektar), kelapa pandan (202 hektar), kopi (445 hektar)  dan sayur-sayuran (120 hektar).

“Manakala 50 hektar lagi ditanam dengan rempah, herba dan tanaman-tanaman lain selain berpotensi untuk tanaman organik serta penternakan daging dan tenusu, ikan air tawar dan ikan air payau,” jelas beliau.

Selain daripada itu, daerah Sipitang mempunyai potensi besar untuk menarik lebih ramai pelancong melawat ke Sabah.

Dr Yusof (lima dari kiri) dan Pengarah Penernagan Sabah, Norzawiyah Bulka (tiga dari kanan) mengagihkan Jalur Gemilang ke permis-permis perniagaan di sekitar Pekan Sipitang. – Foto Jabatan Penerangan

Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada tahun 2018 merekodkan seramai 694,216 pelawat yang melalui Pos Kawalan Imigresen Sindumin, Sipitang iaitu 342,550 ketibaan dan 351,666 pelepasan.

Ini adalah kerana daerah Sipitang dianugerah kan sumber alam semulajadi yang indah, cantik dan masih dalam keadaan asli.

“Dengan bantuan dan bimbingan Sabah Tourism Board, kita sedang giat membangunkan Community Based Tourism (CBT) di beberapa kawasan seperti di Kampung Pelakat, Kampung Ulu Sipitang dan Kampung Solob.

“Disamping itu, Sipitang mempunyai litar tetap pertama di Borneo untuk peminat pacuan empat roda yang terletak di Kampung Katipoh, Mesapol dan kawasan memancing kolam ikan keli Afrika terbesar di Sabah.

“Boleh dikatakan daerah Sipitang boleh memberi pakej yang penuh untuk sektor pelancongan di negeri ini,” katanya.

Dr Yusof ketika menyampaikan ucapan sempena Festival Buah-Buahan Sipitang. – Foto Jabatan Penerangan

Terdahulu beliau yang juga Exco Penerangan Sabah turut mengedarkan Jalur Gemilang di

premis-premis perniagaan sekitar pekan Sipitang bagi menggelorakan lagi sambutan bulan kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sabah.

Beliau yang ditemani isteri beliau, Datin Azizah Beniamen turut membuat pelepasan kepada Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Dataran Esplanade Sipitang. – Jabatan Penerangan