Pilih Bahasa

Sipitang berpotensi sebagai pusat pelancongan baharu – Yusof

Oleh Sabah News Today

SIPITANG: Kerajaan melihat Sipitang berpotensi menjadi pusat pelancongan yang baharu.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata daerah tersebut mempunyai keunikan yang boleh dibangunkan bagi menarik ramai pelancong datang berkunjung.

Yusof (tiga dari kanan) melancarkan gimik perasmian SiFest 2020 sambil diperhati tetamu kehormat pada Malam Citrawarna Festival Buah-buahan Sipitang. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

“Sipitang mempunyai lokasi strategik kerana bersempadan dengan Kalimantan, Brunei, Sarawak dan letaknya pula di pesisir pantai.

“Kepelbagaian dari aspek agama, budaya dan bangsa turut menjadi tarikan utama para pelancong.

“Atas sebab itu, kerajaan melihat potensi daerah ini sebagai pusat pelancongan yang mampu menjana pendapatan penduduk sekitar.

Suasana…sekitar Yusof dan Azizah menyanyikan lagu tema SiFest 2020, SiFest Citra Baru bersama tetamu kehormat dan artis jemputan. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

“Bagi mencapai tujuan ini, kita perlu menekankan budaya baharu iaitu utamakan kebersihan serta membuat landskap yang indah agar lebih bersifat antarabangsa dan mudah difahami oleh masyarakat luar,” katanya dalam Majlis Penutupan Festival Buah-buahan Sipitang 2019.

Dalam pada itu, Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin berkata meskipun penganjuran festival tersebut lebih kepada pertunjukan buah-buahan dan makanan tempatan, beliau mahu masyarakat Sipitang menonjolkan kelebihan yang jauh lebih istimewa iaitu kepelbagaian kebudayaan yang ada di Sipitang.

Datuk Jamal Abdillah antara artis yang menghiburkan pengunjung pada Malam Citrawarna Festival Buah-buahan Sipitang 2019. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

“Jadikan perbezaan agama, bangsa dan budaya sebagai bunga-bunga identiti masyarakat yang perlu kita tonjolkan kepada orang luar dan sebagai simbol kita menolak anasir-anasir ekstrem,” katanya lagi.

Penutupan yang dibuat dalam Malam Citrawarna Festival Buah-Buahan Sipitang 2019 itu turut menyaksikan pelancaran Sipitang International Fruits and Food Festival 2020 (SiFest 2020).

Festival yang berlangsung selama empat hari itu melibatkan seramai 235 peniaga dengan jumlah pendapatan lebih RM1.3 juta serta kehadiran lebih 30,000 pengunjung.

Fauziah Gambus turut menghiburkan pengunjung pada Malam Citrawarna Festival Buah-buahan Sipitang 2019. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Turut hadir pada majlis tersebut, isteri Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datin Azizah Beniamen, Pegawai Daerah Sipitang, Matlin Dollah, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Pegawai Pembangunan Masyarakat serta pemimpin-pemimpin parti komponen Warisan, UPKO, PKR dan Bersatu. Sabahnewstoday/Jabatan Penerangan