Pilih Bahasa

Sistem AI bantu tetapkan hukuman konsisten bermula hari ini di mahkamah Sabah

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Buat pertama kalinya, mahkamah di sini menetapkan hukuman berdasarkan rekomendasi teknologi Artificial Intelligence (AI) yang disifatkan sebagai detik penting bagi badan Kehakiman Malaysia.

Ianya juga menjadikan mahkamah Sabah yang pertama dalam negara menggunakan sistem ini.

Wong (kanan) dan Tengku Maimun dalam sidang akhbar selepas menyaksikan prosiding pagi tadi yang dibantu oleh sistem AI di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu. Gambar SNT/Chris Maskilone

Setelah menyaksikan sendiri proseding Mahkamah Majistret dengan bantuan sistem AI itu, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri David Wong Dak Wah bersama Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat berpuas hati akan hasilnya.

“Ini merupakan satu detik penting bagi perundangan negara,” kata Wong dalam sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu tengah hari tadi.

Ianya juga merupakan tugasan Wong yang terakhir kerana beliau bersara pada hari ini.

“Kita berpuas hati melihat hasil sekurang-kurangnya tertuduh diberi peluang menukar pengakuan mereka setelah di beritahu kebarangkalian hukuman yang akan diterima (berdasarkan rekomendasi dan analisa AI).

“Dalam ertikata lain, tertuduh boleh membuat keputusan secara sedar kerana sudah diberitahu awal hukuman yang bakal dijatuhkan berbanding dahulu apabila tertuduh sekadar mendapat bayangan sahaja mengenai hukumannya (sekiranya mengaku salah).

“Oleh itu, pada kami berpendapat ini merupakan satu penambahbaikan dalam sistem perundangan kita,” kata Wong.

Ditanya mengenai bantahan yang diutarakan oleh seorang peguam bahawa sistem berkenaan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, Wong berkata mereka telah menjangka akan ada bantahan sedemikian.

Para peguam berhak mengutarakan bantahan namun Wong mengingatkan bahawa perkara ini merupakan sesuatu yang baharu juga bagi pihak Mahkamah.

Maka itu ianya perlulah diuji di Mahkamah untuk melihat kedudukannya dari segi Perlembagaan, ujar Wong.

Walaubagaimanapun, Wong berkata beliau dan juga Tengku Maimun tidak dapat mengulas lebih panjang mengenai hal berkaitan perlembagaan memandangkan sudah ada bantahan.

“Biarlah bantahan tersebut menjalani proses sekiranya kaunsel ingin membawa bantahan ini lebih jauh maka itu adalah hak beliau. Itu saja yang boleh saya katakan,” kata Wong.

Beliau berkata apa yang penting pada akhirnya ialah orang awam akan mendapat keadilan.

Wong seterusnya memberitahu bahawa sistem AI tersebut bukanlah bertujuan menggantikan hakim tetapi sebenarnya bertindak sebagai sumber rujukan yang memudahkan hakim membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman yang konsisten dengan kesalahan.

Sistem AI ini dimuatkan dengan data kesemua penghakiman terdahulu dan setelah data kes baharu dimasukkan ianya mampu membuat perkiraan melalui perbandingan dan memberi rekomendasi hukuman.

Wong menekankan kata putus mengenai hukuman yang akan dijatuhkan masih ditangan Majistret ataupun Hakim Mahkamah Sesyen.

“Apa yang kita inginkan ialah konsistensi dalam penjatuhan hukuman,” katanya sambil menambah bahawa beliau yakin penggunaan teknologi AI ini akan dapat meningkatkan konsistensi hukuman antara mahkamah dalam negara kita.

Menurutnya, orang awam sedang memerhatikan sistem kehakiman dan di mana jua akan terdapat aduan mengenai hukuman yang tidak konsisten.

“Orang awam mempersoalkan mengapa seseorang itu dihukum penjara sementara seorang lagi pula dikenakan denda,” katanya.

Dalam pada itu, usaha juga sedang diambil supaya sistem ini dapat digunakan bagi kes sivil terutamanya melibatkan kemalangan kenderaan di mana mahkamah perlu memutuskan gantirugi untuk kecederaan.

Wong berkata ianya mungkin mengambil masa tiga hingga enam bulan ini untuk dilaksanakan.

Sementara itu, ditanya mengenai hari terakhir beliau bertugas hari ini, Wong berkata beliau tidak terlalu memikirkannya disebabkan terlalu sibuk dengan tugas dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

“Jika saya katakan saya tidak berasa sedih bererti saya tidak jujur. Setiap kali kita meninggalkan tempat dimana kita telah berjumpa ramai sahabat dan sebagainya sehingga seperti satu keluarga sudah tentulah sedih. Namun kehidupan perlu diteruskan,” katanya.-SabahNewsToday