Pilih Bahasa

Sistem akuaponik diperkenal, galak belia dan siswazah ceburi bidang akuakultur

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah memperkenalkan sistem akuaponik kepada pengusaha akuakultur sebagai usaha untuk membantu serta mempertingkatkan jumlah pengusaha bidang berkenaan di Sabah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Junz Wong berkata akuaponik merupakan sistem ternakan yang mampan dan mesra alam.

Junz Wong. Gambar Fail SNT

Junz berkata pihaknya menerusi Jabatan Perikanan Sabah juga giat memberi latihan dan bengkel kepada para penternak yang berminat melalui kursus Akuaponik.

“Dalam tahun ini dua penternak masing dari Kota Marudu dan Keningau telah dibantu dengan set sistem akuaponik melalui program khas bantuan benih dan baja sektor perikanan bagi tahun 2019.

“Sebagai tambahan bantuan dalam bentuk peralatan untuk ternakan ikan seperti tangki, pam air, paip PVC untuk aliran air dan media untuk tanaman tumbuhan juga diberikan kepada pengusaha berpotensi,” katanya pada sesi soal jawab pada Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Bolkiah Ismail (Warisan-Pitas) mengenai usaha kerajaan untuk membantu mempertingkatkan jumlah pengusaha agroponik di negeri ini.

Dalam pada itu Junz berkata setakat ini terdapat 25 pengusaha yang dikenalpasti masih mengusahakan tanaman agroponik secara berterusan di Sabah.

Katanya untuk memperkenalkan teknologi penanaman agroponik, Jabatan Pertanian Sabah telah menyediakan infrastruktur dan kemudahan teknologi itu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Putatan dan Mesilou Kundasang bermula 2018.

Keutamaan program itu jelas beliau lagi diberikan kepada belia dan siswazah di negeri ini.

“Seramai 18 penternak telah mengusahakan sistem di Sabah dan sebahagian daripada penternak ini giat mengusahakan tanaman akuaponik sendiri manakala sebahagian lagi masih dalam peringkat percubaan,” katanya. – SabahNewsToday