Pilih Bahasa

Sistem barter minyak masak Sabah-Indonesia, Filipina dilancar minggu depan

Oleh Alfred Petrus

Mohd Shafie Apdal. – Gambar SNT/Ihsan JKM

KOTA KINABALU: Aktiviti perdagangan tukar barang (barter trade) produk minyak masak antara kerajaan negeri dengan Indonesia dan Filipina bakal dilancarkan minggu hadapan.

Mengesahkan perkara itu Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sistem perniagaan berkenaan dilancarkan bagi menangani masalah penyeludupan minyak bersubsidi ke negara jiran seperti yang berlaku sebelum ini.

Jelasnya usaha itu diambil juga kerana pemberian subsidi adalah inisiatif kerajaan kepada rakyat dan bukannya negara luar.

“Kita tidak memberikan subsidi kepada orang asing tetapi kerajaan memberikan subsidi ini kepada orang tempatan.

“Ia akan dilancarkan minggu depan bagi membolehkan pengusaha dari Indonesia dan Filipina faham dan tahu berkenaan bekalan minyak masak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD)@KPLB Zon Sabah 2019, di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas di sini hari ini.

Tambahnya platform perniagaan tersebut adalah bagi memberi kefahaman terhadap negara jiran bahawa produk bersubsidi itu adalah keistimewaan yang diberikan hanya kepada masyarakat tempatan.

Katanya pelaksanaan barter trade itu juga sebagai persediaan kerajaan negeri menerima impak ekonomi berikutan cadangan Indonesia memindahkan Ibu negaranya ke Kalimantan.

Mohd Shafie juga berkata produk minyak masak bagi sistem barter trade itu akan dikendalikan oleh Kumpulan Sawit Kinabalu.

“Pemprosesan dan penghasilan minyak masak ini akan dikendalikan oleh Benta Wawasan Sdn Bhd untuk pasaran tempatan yang akan dikenali dengan jenama Bess,” jelasnya. – SabahNewsToday