Pilih Bahasa

SISTEM BEKALAN ELEKTRIK BERASASKAN KOMUNITI BAKAL DILAKSANA DI PEDALAMAN

Yeo Bee Yin

PENAMPANG, 20 Jan (Bernama) — Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan melaksanakan pemasangan sistem bekalan elektrik berasaskan komuniti bagi memastikan kampung di pedalaman menikmati kemudahan itu secara berterusan.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata konsep itu dilihat berkesan untuk memastikan penyelengaraan sistem akan digunakan itu bertahan lama kerana dikendalikan komuniti, dan penduduk kampung menikmati bekalan elektrik secara berterusan.

Katanya langkah itu diambil disebabkan pemasangan sistem bekalan elektrik terutama berasaskan solar di kawasan pedalaman sebelum ini tidak bertahan lama kerana tiada penyelengaraan berterusan.

Justeru, beliau berkata kementeriannya sedang mengenal pasti sistem bekalan elektrik yang sesuai digunakan antaranya menggunakan teknologi tenaga diperbaharui menggunakan bateri, hidro hibrid beserta solar dan mikro hidro.  

“Ia akan dilaksanakan bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang akan mengenal pasti kampung di pedalaman, manakala kami menyediakan teknologi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pelaksanaan Sistem Bekalan Elektrik Mikro Hidro di Kampung Terian dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Anggota Dewan Undangan Negeri Moyog yang juga Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jennifer Lasimbang dan Senator Adrian Lasimbang.

Yeo berkata apabila sistem janaan bekalan elektrik itu dikenal pasti, peringkat awal sebagai projek perintis akan dilaksanakan di lima kampung di pedalaman Sabah sebelum dilaksanakan secara berskala besar.

Dalam pada itu, beliau berkata penyaluran bekalan elektrik menggunakan sistem mikro hidro di Kampung Terian antara bukti keberkesanan konsep berasaskan komuniti yang menyelenggara sistem itu terus bertahan lama sehingga ke hari ini.

Katanya sistem itu dipasang hasil inisiatif sebuah pertubuhan bukan kerajaan pada 2004 dan sehingga hari ini masih terus membekalkan elektrik di 25 rumah.

Menurutnya kos pemasangan sistem tersebut dianggarkan RM180,000 disebabkan tiada akses jalan raya ke kampung berkenaan ketika itu dan peralatan dibawa dengan menggunakan helikopter.     

Dalam perkembangan lain, Yeo berkata kementeriannya juga bekerjasama dengan KPLB untuk membuat senarai kampung di pedalaman negara ini yang tiada bekalan elektrik.

Beliau berkata senarai itu disediakan bagi memudahkan syarikat yang mahu melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menjalankan program menyediakan bekalan elektrik di kampung pedalaman.

“Ini kerana banyak syarikat khususnya di bandar tidak tahu tempat melaksanakan CSR dan menerusi senarai kampung yang ada, mereka boleh menaja atau menjadikan kampung itu sebagai kampung angkat,” kata Yeo.

— BERNAMA