Pilih Bahasa

Sistem imbasan kesihatan di pintu masuk Sabah harus diaktifkan – Jaujan

SEMPORNA: Sistem imbasan kesihatan dipintu masuk Sabah khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) harus sentiasa diaktifkan bagi memastikan negeri ini kekal bebas daripada sebarang penyakit atau virus.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata sistem berkenaan tidak sepatutnya hanya diaktifkan secara berkala memandangkan Sabah khususnya di Tawau kini menerima kedatangan pelancong yang sangat ramai.

Jaujan melawat orang ramai yang menderma darah pada program Karnival Gegar Kesihatan Pulau Bum-Bum. Gambar SNT/Ihsan KKTP

“Lapangan Terbang Tawau juga kini menerima kedatangan pelancong antarabangsa khususnya dari negara jiran, oleh itu adalah wajar sistem itu turut digunapakai di lapangan terbang ini.

“Kita tidak tuduh mereka membawa penyakit sebab mereka sendiri pun tidak tahu virus itu ada dalam diri mereka.

“Tetapi kita perlu lihat mereka datang dari berbagai persekitaran yang mungkin mempunyai virus-virus tertentu, kita tidak menuduh cuma kita perlu sentiasa peka dan awas,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Karnival Gegar Kesihatan Pulau Bum Bum, di sini semalam.

Turut sama Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau Tony Koh.

Beliau berkata kerajaan Sabah perlu mengambil serius perkara berkenaan agar mampu menghalang sebarang sumber penyakit yang boleh memberikan kesan kepada masyarakat Sabah khususnya di Semporna.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan bimbang mengenai perkara itu sekiranya langkah awal tidak diambil, ianya mampu menggugat keselamatan kesihatan masyarakat negeri ini secara keseluruhan.

“Selain itu, saya juga mengingatkan semua premis penginapan, restoran agar sentiasa bersih termasuk tandasnya.

“Kini kementerian saya bersama-sama jabatan kesihatan negeri Sabah bersama-sama mengadakan penguatkuasaan untuk memeriksa premis mana yang tidak mematuhi peraturan kebersihan,” katanya.

Menurutnya, pengusaha premis yang didapati melanggar undang-undang itu akan berdepan dengan tindakan sewajarnya.

Dalam pada itu, Jaujan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan menjelaskan program diadakan itu penting kepada masyarakat setempat.

“Kesihatan penting kepada semua masyarakat di sini dan juga rakyat Sabah keseluruhan. Kemudahan hospital dan klinik di sini juga harus dipertingkatkan.

“Saya harap program ini akan terus diadakan di sini dan dikembangkan ke semua pelusuk kampung di pulau ini,” katanya.

Beliau berharap masyarakat yang hadir pada program berkenaan mampu manfaatkan ilmu yang didapati kerana penjagaan kesihatan itu penting dan ianya bermula dari diri sendiri.

Katanya kebergantungan kepada klinik tidak ada gunanya sekiranya sudah terlewat.

Pencegahan penyakit seharusnya bermula dari peringkat awal iaitu dari diri sendiri dengan menjaga pemakanan serta mengadakan aktiviti senaman.-SabahNewsToday