Pilih Bahasa

Siswa siswi Sabah harus jadi Duta Kebudayaan

Oleh Sabah News Today

MELAKA: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata mahasiswa Sabah di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) di Semenanjung memainkan peranan penting sebagai duta kebudayaan Sabah.

Beliau berkata ini kerana tiada lagi komuniti yang lebih memahami budaya Sabah selain komuniti itu sendiri.

Ewon menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama pertandingan Tarian Kreatif. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Kita mahu kepelbagaian etnik, budaya dan bahasa di Sabah yang telah sekian lama wujud secara harmoni dijadikan model keharmonian dan perpaduan antara kaum di Malaysia.

“Sebab itulah, tidak ada lagi komuniti yang lebih memahami hubungan kaum yang cukup baik di Sabah melainkan komuniti sendiri. Itulah harapan Kerajaan Sabah agar siswa-siswi yang menuntut di universiti di Semenanjung atau di luar Sabah menjadi duta kebudayaan kita supaya dapat menonjolkan keunikan dan keistimewaan perpaduan yang sudah lama terbina di Sabah.

Ewon menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat kedua pertandingan Tarian Kreatif. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Ianya boleh dilakukan dengan menganjurkan program-program seni kebudayaan termasuk sambutan ringkas rumah-rumah terbuka perayaan oleh persatuan mahasiswa Sabah supaya mahasiswa lain berpeluang melihat betapa uniknya model perpaduan yang terbina di Sabah. Kerajaan Sabah sentiasa menyokong inisiatif sebegini yang diambil oleh persatuan-persatuan mahasiswa di universiti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Malam Pentas Seni Budaya Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) anjuran Persatuan Mahasiswa Anak Sabah dan Sarawak (PMASS) di Melaka pada malam Selasa (kelmarin).

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian dan merupakan alumni UTeM serta salah seorang pengasas PMASS menyatakan kebanggaan beliau kerana persatuan itu terus bergiat aktif bukan hanya dalam kecemerlangan pengajian tetapi juga kebajikan serta aktiviti-aktiviti berasaskan kebudayaan Sabah dan Sarawak.

Ewon menyampaikan sumbangan kepada Pengarah Program PMASS Sizrina Anastasia mewakili PMASS.Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Saya hadir pada malam ini kerana sebagai alumni dan juga pengasas persatuan, ada kebertanggungjawaban yang saya harus pikul untuk menyokong universiti ini, khususnya PMASS yang telah kami asaskan dahulu. Saya amat yakin mahasiswa Sabah di UTeM akan terus konsisten menjadi duta kebudayaan Sabah selain daripada memastikan kualiti pengajian cemerlang.

“Saya difahamkan program ini adalah yang julung kali diadakan sejak sekian lama, dan saya menyokong jika ia dijadikan sebagai acara tahunan oleh PMASS. Saya akan menyokong dan membantu setakat mana yang boleh,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Ewon turut menyampaikan sumbangan khas touchpoints menteri sebanyak RM9,000 kepada PMASS untuk membiayai sebahagian kos majlis tersebut dan juga aktiviti-aktiviti persatuan yang seterusnya.

Pelbagai acara disusun sepanjang majlis itu, antaranya pertandingan nyanyian dan tarian berasaskan etnik Borneo yang turut disertai mahasiswa Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Tun Hussein Onn dan Universiti Teknologi MARA.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor UTeM, Professor Madya Dr Nurulfajar Abdul Manap.-SabahNewsToday