Pilih Bahasa

SITI NURHALIZA UBAT RINDU PEMINAT SINGAPURA

Oleh Mohd Nazllie Zainul

SINGAPURA: Selepas hampir lima tahun tidak muncul dengan persembahan berskala besar, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kembali menyapa peminatnya di Singapura menerusi Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour, baru-baru ini.

Bertempat di Singapore Expo, SNT berpeluang menyaksikan sendiri konsert jelajah terbabit yang memasuki lokasi kedua selepas Istora Senayan, Jakarta pada 21 Februari lalu.

Siti membuka pentas Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di Singapura menerusi segmen tradisional. Gambar SNT/ Ehsan Rozi Abdul Razak

Kedatangan penyanyi kesayangan ramai di negara itu berjaya memukau lebih 4,500 penonton yang hadir bagi melihat dirinya kembali beraksi di pentas konsert.

Kali terakhir mengadakan konsert di Kota Singa berkenaan pada tahun 2014, penghibur mesra disapa Siti itu membuka tirai konsert jelajah menerusi segmen tradisional yang menghimpunkan beberapa hitz popularnya.

Siti membuka pentas Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di Singapura menerusi segmen tradisional. Gambar SNT/ Ehsan Rozi Abdul Razak

Tampil dengan persalinan puteri perak berwarna kuning rekaan Rizman Ruzaini, mata penonton yang hadir seperti terpaku melihat kecantikkan ibu kepada Siti Aafiyah Khalid berkenaan saat muncul mendendang lagu Badarsila pada pembukaan konsert.

Terkenal kelunakan vokal ketika menyanyikan lagu berentak tradisional, Siti meneruskan persembahan siri jelajah terbabit dengan menyamaikan lagu Joget Berhibur dan Joget Kasih Tak Suda.

Warna-warni segmen tradisional konsert Siti Nurhaliza. Gambar SNT/Ihsan Rozi Abdul Razak

Dalam pada itu, penghiburan berusia 40 tahun itu berkata beliau sengaja memilih segmen tradisional selaku pembukaan di semua lokasi konsert jelajah kerana percaya keindahan irama tradisional itu sendiri dapat mengeratkan hubungan serumpun yang tidak mempunyai banyak perbezaan.

“Siti juga nak berterima kasih kepada ibu, Siti Salmah Bachik yang banyak mengajar Siti dalam menyanyikan lagu irama tradisional.

Siti Nurhaliza tetap anggun dan menawan menghiburkan peminat dalam konsert jelajahnya di Singapura. Gambar SNT/Ihsan Rozi Abdul Razak

“Tanpa beliau, mungkin Siti tidak berada di pentas ini untuk menghiburkan peminat yang banyak menyokong kerjaya Siti dalam apa sahaja irama lagu yang dipersembahkan,” katanya penyanyi lagu Cindai itu.

Bakal memasuki usia 23 tahun pembabitan dalam bidang seni, penghibur mendapat jolokkan “Voice of Asia” berkenaan tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan dirinya kepada allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah melalui dendangan lagu Nirmala selain medley Balqis dan Hati Kama.

Datuk Seri Siti Nurhaliza mendendangkan kira-kira 30 buah lagu malar segarnya pada konsert jelajah bertempat di Singapore Expo, Singapura. Gambar SNT/ Ihsan Rozi Abdul Razak

Segmen tradisional pasti tidak lengkap sekiranya Siti tidak menyanyi lagu Cindai yang banyak mengangkat nama sebagai salah seorang penyanyi terbaik tanah air.

Peminat yang hadir turut sama menyanyi sambil menari di hadapan pentas menemani Siti.

Menjengah segmen balada, isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa itu sekali lagi memukau mata penonton tatkala muncul dalam persalinan indah rona merah jambu sentuhan pereka tempatan, Qudyn Aziz.

Segmen ini umpama dinantikan peminat dalam siri jelajah terbabit kerana kebanyakkan lagu bagi segmen berkenaan adalah lagu malar segar yang begitu sinonim dengan Siti.

Gaya persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza memukau peminat pada konsert jelajah bertempat di Singapore Expo, Singapura. Gambar SNT/ Ihsan Rozi Abdul Razak

Menerusi lagu Biarlah Rahsia, Siti seakan membuatkan penonton larut dalam emosi  lagu yang dikaitkan kisah percintaannya bersama suami sebelum mendirikan rumah tangga pada Ogos 2006.

Siti terus membuai peminat Singapura melalui lagu Demi Kasih Sayang dan pastinya penyampaian bersahaja membuktikan diri penghibur tersohor itu masih relevan dalam industri muzik serantau.

Menyanyikan kira-kira 30 buah lagu sepanjang lebih dua jam persembahan, penyanyi pujaan ramai itu kemudiannya menyampaikan medley korus beberapa buah lagu daripada album Transkripsi seperti Cuba Untuk Mengerti, Pastikan, Intriq Cinta dan Bisakah.

Datuk Seri Siti Nurhaliza turut berduet bersama penyanyi kelahiran Indonesia, Tulus bagi lagu Seindah Biasa pada konsert siri jelajahnya di Singapura, baru-baru ini. Gambar SNT/ Ihsan Rozi Abdul Razak

Jika segmen tradisional mengangkat pelbagai karya Pak Ngah manakala segmen balada, Siti juga menghargai sumbangan allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan yang banyak membantu dirinya mencipta nama selaku penyanyi.

Pemilihan lagu Jawapan Di Persimpangan, Jerat Percintaan dan Wajah Kekasih seperti suatu pilihan tepat kerana ada antara lagu berkenaan sudah sekian lama  dirindui peminat untuk melihat dirinya menyampaikan lagu-lagu yang cukup popular sekitar era 90an itu.

Dalam pada itu, pentas Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour turut dihangatkan persembahan duet Siti bersama penyanyi lelaki daripada Indonesia, Tulus melalui lagu Seindah Biasa.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyampaikan banyak lagu popularnya sempena siri jelajah konsert di Singapura menerusi Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour, baru-baru ini. Gambar SNT/ Ihsan Rozi Abdul Razak

Sementara itu, Siti terus menghangatkan pentas konsert bagi segmen pop menerusi dendangan lagu berentak rancak termasuklah Siti Situ Sana Sini, Engkau Bagaikan permata dan Indah Percintaan.

Antara lagu lain yang disampaikan dalam segmen berkenaan adalah Comel Pipi Merah, Percayalah, Bukan Cinta Biasa, Purnama Merindu dan Anta Permana.

Siti menutup tirai konsert dengan menyanyikan lagu Lebih Indah namun ia hanyalah sekadar gimik kerana penyanyi wanita itu kembali ke tengah pentas dengan lagu Bersandar Cinta ciptaan Aubrey Suwito.

Datuk Seri Siti Nurhaliza turut menitiskan air mata dipenghujung konsert berikutan terharu sokongan peminatnya sempena penganjuran Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di Singapura. Gambar SNT/ Ihsan Rozi Abdul Razak

Pada akhir konsert, Siti yang tidak dapat menahan sebak menitiskan air mata melihat sokongan peminatnya di Singapura yang tidak pernah berhenti sejak awal bergelar anak seni.-SabahNews Today