Pilih Bahasa

SK Melalap lancar program Guru Penyayang dan Sifar Ponteng Sekolah

TENOM: Sekolah Kebangsaan Melalap menjadi perintis bagi pelaksanaan program Guru Penyayang dan Sifar Ponteng Sekolah.

Guru Besar SK Melalap Sugiyanto Trimo berkata program tersebut diperkenalkan bagi mengwujudkan sikap kasih sayang selari dengan hasrat sekolah dalam membentuk keluarga bahagia terutamanya dalam aspek membabitkan disiplin dan masalah pelajar yang menjadi fokus utama.

Guru Besar SK Melalap Sugiyanto Trimo (tengah) bersama penolong kanan, guru-guru dan murid ketika pelancaran program tersebut.-Gambar SNT/Ihsan SK Melalap

“Melalui pengenalan program ini kita akan mengamalkan budaya cakna bukan sahaja dikalangan guru guru tapi melibatkan pelajar dan ibubapa dalam menangani masalah pelajar termasuklah masalah pelajar yang seringkali ponteng ke sekolah” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Guru Penyayang dan Sifar Ponteng peringkat sekolah itu di dewan terbuka SK Melalap baru baru ini.

Menurut Sugiyanto jika seorang pelajar melebihi 30 hari ponteng ke sekolah semasa sesi persekolahan lawatan susulan ke rumah ini pelajar terlibat akan dibuat bagi mengetahui lebih lanjut apa sebenarnya masalah yang dihadapi mereka.

“Tujuan kita adalah untuk membantu pelajar ini daripada terus tersisih, sekali gus boleh mengundang risiko dalam kes salah laku yang lebih serius,” katanya.

Menurut beliau lagi program tersebut adalah hasil cetusan idea guru-guru dengan kerjasama Persatuan Ibubapa dan Guru dengan menggabungkan pelbagai aktiviti melalui kerjasama pengurusan sekolah untuk mewujudkan iklim pembelajaran yang kondusif.

Guru Besar Sk Melalap Sugiyanto Trimo menyampaikan hadiah kepada salah seorang murid dengan kehadiran seratus peratus.-Gambar SNT/Ihsan SK Melalap

“Program lawatan ke rumah rumah pelajar yang bermasalah antara aktiviti yang dilaksanakan menerusi program ini. Jadi, kami amat berharap masalah disiplin dan sosial pelajar dapat ditangani sebaiknya,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama Sugiyanto berkata pihak sekolah juga turut memberikan hadiah kepada pelajar dengan seratus peratus kehadiran semasa sesi persekolahan.

Katanya anugerah ini sebagai penghargaan pihak sekolah kepada pelajar disamping memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada mereka agar rajin ke sekolah kecuali disebabkan faktor sakit, musibah atau lain-lain hal yang disertai dengan bukti yang kukuh.-SabahNewsToday