Pilih Bahasa

SK PEKAN TELUPID PERLU DIBERI PERHATIAN – UPKO BELURAN

Oleh Chris Maskilone

Felix (tengah) berbincang dengan Guru Besar SK Pekan Telupid Dominic Nara semasa lawatan ke sekolah tersebut tahun lalu. Gambar SNT/Ehsan Upko Beluran

TELUPID: Ketua Bahagian Upko Beluran Felix Joseph Saang menggesa perhatian semua pihak agar SK Pekan Telupid dapat dikembalikan kepada keadaan asal.

Kementerian Pendidikan perlu memantau perkembangan kerja pembaikan sekolah ini supaya permasalahan yang dihadapi dapat diselesaikan.

Menurut beliau, perhatian khusus terhadap masalah tersebut amat diperlukan memandangkan hampir 800 orang murid sudahpun memulakan alam persekolahan bagi sesi tahun 2019.

Bangunan SK Telupid tanpa atap akibat ditiup angin ribut Jun tahun lalu. Gambar SNT/Ehsan Upko Beluran

Felix telah melawat sekolah ini pada bulan November yang lalu untuk mengetahui keadaan sebenar sekolah dan beliau melihat waktu itu kerja-kerja pembaikan kerosakan bangunan akibat dipukul angin ribut pertengahan tahun lalu sedang dilakukan.

“Saya sempat berbincang dengan guru besar Dominic Nara tentang masalah kerosakan sekolah dan ketika itu beliau juga mengharapkan agar kerja kerja pembaikan siap sepenuhnya sebelum pembukaan sekolah sesi tahun 2019.”

“Saya difahamkan memang ada peruntukan dari Kementerian Pendidikan untuk membaiki sekolah ini.”

Felix Joseph Saang. Gambar Fail SNT

Namun demikian, Felix berasa sedih apabila mendapat laporan bahawa kerja-kerja pembaikan belum lagi selesai sepenuhnya sedangkan hari ini ialah hari pertama persekolahan sesi tahun 2019.

“Saya agak sedih kerana banyak lagi kerja-kerja yang sedang dilakukan. Para pelajar terpaksa berada di bawah khemah.

“Saya sangat memahami kekhuatiran ibubapa dengan keadaan sekolah yang tidak berbumbung dan juga kerja binaan yang sedang berjalan.

“Selain dari faktor ketidakselesaan para pelajar, keadaan sekeliling sekolah juga meresahkan para ibubapa kerana bimbang dengan keselamatan pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Felix memuji semangat cekal Guru Besar Dominic serta guru guru sekolah SK Pekan Telupid untuk terus memberikan khidmat yang sebaik mungkin walaupun dengan keadaan sekolah yang agak sukar.

“Saya juga difahamkan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Telupid Tongod sedang berusaha untuk membantu menyelesaikan permasalahan sekolah ini,” kata Felix.

“Kita amat mengharapkan agar kesemua pihak berwajib dapat memastikan agar kerja kerja pembaikan dapat dilaksanakan dalam kadar segera dan sekolah ini siap sepenuhnya,” tegas Felix.-SabahNewsToday