Pilih Bahasa

SK PELADOK JUARA KEJOHANAN OLAHRAGA MSSR DAERAH KOTA BELUD

Oleh Sabah News Today

KOTA BELUD: Sekolah Kebangsaan (SK) Peladok muncul juara Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Rendah (MSSR) Daerah Kota Belud kali ke-51 yang berlangsung di Padang Kompleks Sukan Kota Belud, di sini, pada kelmarin.

Sekolah itu berjaya mengutip tujuh pingat iaitu empat emas, dua perak dan satu gangsa.

Ewon menyampaikan  hadiah kepada olahragawati PKI, Farisha. Gambar SNT/Ihsan KPLB

SK Tempasuk II pula meraih naib juara selepas merangkul empat emas, satu perak dan satu gangsa manakala SK Pekan menduduki tempat ketiga dengan pungutan satu emas, lima perak dan satu gangsa.

Kesemua hadiah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick, pada majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Olahraga MSSRDKB.

Ewon menyampaikan hadiah kepaada olahragawati perdana, Noralyani. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Kejohanan itu yang berlangsung selama tiga hari bermula 18 Feb lalu, disertai 60 sekolah rendah seluruh daerah Kota Belud termasuk sekolah Pendidikan Khas dan Integrasi (PKI) melibatkan jumlah penyertaan keseluruhan lebih 800 atlet.

Bagi kategori PKI,  SK Sembirai muncul juara dengan pungutan pingat sebanyak 11 (empat emas, dua perak dan lima gangsa), naib johan dimenangi SK Rosok dan tempat ketiga SK Kuala Abai.

Ewon menyampaikan sijil dan cenderakenangan kepada wakil sekolah SK Tempasuk II, naib johan kejohanan itu. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Charlita Daniel Stebon dari SK Timbang Kota Belud pula dimahkotakan sebagai Olahragawan Perdana dengan pencapaian dua pingat masing-masing satu emas dalam acara 100 meter dan lompat jauh (perak).

Olahragawati Perdana dimenangi Noralyani Unking dari SK Peladok Kota Belud selepas meraih dua emas dan satu perak dalam acara 80 meter berpagar dan 4×200 meter.

Ewon menyampaikan  piala kepada Charlita Daniel, olahragawan perdana. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau juga berjaya mencatatkan rekod baru dalam acara 80 meter berpagar dengan catatan masa 14.8 saat, sekali gus mengatasi rekod tahun 2010 (14.9 saat).

Bagi kategori PKI, olahragawan disandang Emaran Jaikin (SK Taginambur) manakala Farisha Dania Tanjol (SK Sembirai) dipilih sebagai olahragawati.

Ewon menerima cenderakenangan daripada Rosminah. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Johan dalam setiap acara akan mewakili daerah Kota Belud ke Kejohanan Olahraga MSSR Peringkat Negeri Sabah yang akan berlangsung di Kudat dari 21 hingga 27 Mac ini.

Ketika berucap pada majlis itu, Ewon berkata penglibatan aktif pelajar dalam sukan amat penting kerana melalui sukan, mereka bukan sahaja mencapai kecemerlangan dalam bidang berkenaan di peringkat sekolah dan negeri tetapi akan mengharumkan nama negara seperti atlet-atlet lain yang berjaya.

Ewon menyampaikan sijil dan cenderakenangan kepada wakil sekolah SK Peladok yang menjuarai kejohanan  itu . Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Terima kasih kepada guru-guru dan ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan serta dorongan kepada anak-anak mereka bergiat alam bidang sukan.

“Saya yakin kejohanan seperti ini akan menjadi platform terbaik untuk mencungkil dan mengasah bakat terpendam para murid sekolah rendah dalam pelbagai bidang kesukanan.

Ewon menyampaikan hadiah kepada olahrawagan PKI, Emaran. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Saya akan terus menyokong kontinjen yang akan mewakili daerah Kota Belud ke kejohanan MSSR peringkat negeri di Kudat bulan depan,” katanya.

Ewon telah menyampaikan sumbangan touchpoints sebanyak RM10,000 untuk  menjayakan acara itu.  

Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud Anjan Ruddin, Yang DPA Majlis Guru Besar (MGB) Kota Belud Rosminah Hj Suhaibul dan guru-guru besar.-SabahNewsToday