Pilih Bahasa

SK Pukak juara Bola Jaring MSSD Tuaran

TUARAN: Seakan berada dalam kelas tersendiri, Sekolah Kebangsaan (SK) Pukak, Kiulu muncul johan pertandingan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Tuaran yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka, di sini, baru-baru ini.

Pasukan SK Pukak juara Kejohanan Bola Jaring MSSD Tuaran. Gambar SNT/Ihsan MSSD Tuaran

Kemantapan pasukan bola jaring SK Pukak terserlah apabila dua pemainnya turut menerima anugerah penjaring terbanyak dan pemain terbaik kejohanan.

Dua pemain itu, ialah kapten mereka, Cheerily Calvini Chin yang menjadi penjaring terbanyak manakala Angela Yumir dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan.

SK Pukak memulakan saingan peringkat kumpulan dengan garang apabila memenangi kesemua empat perlawanan dengan bergaya iaitu menewaskan SK Berungis 9-1, SK Tambalang (4-0), SK Rugading (5-1) dan SK Tamparuli 8-0.

Di peringkat suku akhir, SK Pukak sekali lagi sukar digugat apabila membelasah SK Sungai Damit 6-0 dan aksi cemerlang mereka itu diteruskan di separuh akhir apabila mudah membenam SK Mengkabong 7-2.

Pemain terbaik kejohanan Angela Yumir. Gambar SNT/Ihsan MSSD Tuaran

Pada perlawanan akhir, pasukan yang dikendalikan cikgu Priscella Aletha Koek itu juga tidak menghadapi masalah untuk muncul juara apabila menewaskan Kitapol 8-2.

Selain Cheerily dan Angela, pemain lain yang membarisi SK Pukak ialah Chrischell Evy Jamrie; Milleyshane Fuentescynthia Zachery; Elyana Sakura Muslee; Nexvy Mixelynly Linus; Nur Syira Syazrina Nasrul; Nur Syahirah; Syazwanie Abd Razik; Netlyvnnie Sharby Jounar; Cerlyinda Arnold; Ashlye Vinely Jasvin dan Schannen Henna Jimey.

Ketua Pasukan SK Pukak Cheerily Calvini Chin muncul penjaring terbanyak kejohanan. Gambar SNT/Ihsan MSSD Tuaran

Terdahulu selain mendapat tempat kedua keseluruhan, SK Kitapol turut dinobatkan sebagai penerima anugerah Pasukan Fairplay dalam kejohanan itu.

Tempat ketiga dan keempat kejohanan itu masing-masing dimenangi SK mengkabong serta SK Gayang.-SabahNewsToday