Pilih Bahasa

SK Sri Gaya bina driving range di sekolah galak penglibatan lebih ramai murid dalam sukan golf

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya terus komited memajukan sukan golf menerusi pembinaan kawasan latihan pukulan atau “driving range” di sekolah berkenaan.

Guru Besar SK Sri Gaya, Alhazmi Abdullah berkata pembinaan tempat latihan terbabit dilaksanakan dengan kerjasama Alpha Sports Academy.

Aksi pemain golf cilik yang menyertai Kejohanan Golf Terbuka Bawah 12 Tahun anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sri Gaya di Sabah Golf and Country Club, Kota Kinabalu, pada Sabtu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita mempunyai tanah lapang dalam kawasan sekolah dan memandangkan merancangan untuk memajukan sukan golf, kita naiktaraf dengan membina “driving range” di tanah ini.

“Walaupun tidak luas dan hanya memiliki jarak 80 meter tetapi pemain golf daripada sekolah ini dapat berlatih dan memperbaiki mainan masing-masing.

“Selain terlibat pembinaan, Alpha Sports Academy juga bakal menyedia jurulatih bagi  melatih pemain golf sekolah ini hingga ke tahap terbaik.

Aksi pemain golf cilik yang menyertai Kejohanan Golf Terbuka Bawah 12 Tahun anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sri Gaya di Sabah Golf and Country Club, Kota Kinabalu, pada Sabtu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita memang sentiasa mahu mengembangkan sukan golf ini dalam kalangan murid memandangkan golf adalah salah satu sukan yang semakin berkembang di sekolah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Golf Terbuka SK Sri Gaya, dekat sini, hari ini.

Dianjurkan buat julung kali oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sri Gaya, kejohanan terbabit disertai kira-kira 60 peserta daripada beberapa sekolah rendah seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Mempertandingkan enam kategori utama termasuklah kategori tujuh hingga lapan tahun ke bawah (lelaki), sembilan hingga 10 tahun ke bawah (perempuan) dan 11 hingga 12 tahun ke bawah (lelaki).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji melakukan ‘tee-off’ simbolik perasmian Kejohanan Golf Terbuka Bawah 12 Tahun anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sri Gaya di Sabah Golf and Country Club, Kota Kinabalu, pada Sabtu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Sri Gaya, Mohammad Arif Sakaran berkata pihaknya bercadang menjadikan kejohanan terbabit sebagai acara tahunan sekolah berkenaan.

“Melihat sambutan luar biasa tahun ini, kita merancang menjadikan ia aktiviti tetap agar dapat terus memberi peluang serta mencungkil bakat murid-murid dalam sukan golf,” katanya. -SabahNewsToday-