Pilih Bahasa

SK Sri Gaya Johan Pesta Pantun Sekolah Rendah Peringkat Daerah Kota Kinabalu 2020

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Kumpul mewakili SK Sri Gaya Pesta Pantun Sekolah Rendah Peringkat Daerah Kota Kinabalu 2020. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Pesta Pantun Sekolah Rendah Peringkat Daerah Kota Kinabalu 2020 menyaksikan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya merangkul gelaran johan keseluruhan sekaligus menewaskan lima buah sekolah lain turut sama dalam pertandingan terbabit.

Dipilih menjadi penganjur buat kali ketiga, kejayaan berganda dirai sekolah berkenaan apabila SK Sri Gaya turut memenangi kategori pemantun terbaik.

Semua pemenang utama menerima trofi, pingat dan sijil penyertaan selain pemantun terbaik membawa pulang trofi.

Disertai enam buah sekolah rendah sekitar Kota Kinabalu, naib johan dimenangi oleh SK St Agnes manakala tempat ketiga milik SK Darau.

Kumpul mewakili SK Sri Gaya ketika berentap pada Pesta Pantun Sekolah Rendah Peringkat Daerah Kota Kinabalu 2020. -Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sekolah lain turut bertanding dalam acara pantun itu adalah SK Luyang, SK Mutiara dan SK Inanam Laut.

Yang di Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sri Gaya, Mohammad Arif Sakaran berkata penganjuran pertandingan pantun seumpama itu dilihat salah satu pendekatan terbaik bagi golongan murid mendalami adat dan budaya masyarakat Melayu yang sudah menjadi amalan sejak zaman dahulu.

“Murid masa kini lebih banyak tertumpu kepada gajet serta mementingkan media sosial semata-mata. Apabila mereka mengikuti pertandingan ini, ia secara tidak langsung memberi pendedahan kepada generasi muda supaya kebudayaan kita tidak hilang ditelan zaman.

Mohammad Arif Sakaran. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Selain itu, kita juga mampu mencungkil bakat terpendam dalam kalangan murid seawal sekolah rendah selain boleh melatih mereka menggunakan Bahasa Melayu dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Arif berharap penganjuran pertandingan pantun seperti itu terus dianjurkan di semua peringkat institusi pendidikan termasuklah universiti awam serta swasta dan tidak hanya tertumpu pada sekolah rendah mahupun menengah sahaja. – SabahNewsToday