Pilih Bahasa

SK Sri Gaya kutip lebih RM164,000 sempena ulangtahun ke-25

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Hasrat Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya memiliki sebuah van untuk kegunaan aktiviti sekolah tercapai selepas berjaya mengutip lebih RM164,000 menerusi tiga program yang dijalankan sempena ulangtahun ke-25 SK Sri Gaya.

Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Sri Gaya Mohammad Arif Tun Sakaran berkata ketiga-tiga program yang dijalankan iaitu Bazaar Ria SK Sri Gaya, aktiviti ‘Fun Walk & Run SK Sri Gaya’, dan Majlis Makan Malam Gala adalah hasil kerjasama dan komitmen padu seluruh warga sekolah.

PIBG SK Sri Gaya turut menyerahkan sumbangan kepada Pusat Jagaan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Assakinah Kinarut pada majlis itu. Turut kelihatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass selaku tetamu kehormat majlis itu, Sabtu lalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Program bertujuan mengutip dana ini bermula sejak November tahun lepas. Dalam merealisasikan visi dan misi pembelian van sekolah ini, kita memerlukan kerjasama dan komitmen yang tinggi dari seluruh warga SK Sri Gaya.

“Alhamdulillah, kesepakatan dan solidariti yang ditunjukkan berjaya mengutip hampir RM165,000 menerusi ketiga-tiga program yang diadakan dan kita berjaya untuk mendapatkan sebuah van,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena ulang tahun ke-25 sekolah itu di Magellan Sutera Harbour Resort, Sabtu lalu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sri Gaya Mohammad Arif Tun Sakaran (empat dari kiri) bersama exco PIBG turut berada diatas pentas bersama penyanyi rock terkenal, Awie pada Majlis Makan Malam Gala Ulangtahun Ke-25 SK Sri Gaya di Magellan Sutera, Kota Kinabalu, Sabtu lalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Mohammad Arif, PIBG SK Sri Gaya akan terus komited agar sekolah kluster pertama di negeri ini menempa lebih banyak kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kita di PIBG sekolah ini akan melakukan apa sahaja yang terbaik untuk menaikkan nama sekolah.

“Ia sejajar dengan matlamat penubuhan persatuan ini di semua sekolah kerajaan yang bertujuan membentuk permuafakatan dan persefahaman antara ibubapa dan guru untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah dalam aspek akademik, kokurikulum dan prasarana sekolah,” jelasnya.

Tambah Mohammad Arif, kerjasama yang ditunjukkan itu juga berjaya memupuk semangat perpaduan sekaligus menjadi contoh kepada murid sekolah.

SK Sri Gaya mula beroperasi pada Disember 1994 dan telah memperolehi pelbagai anugerah dan pengiktirafan.

Antaranya Sekolah Berprestasi Tinggi, Anugerah Kecemerlangan Ko Kurikulum, Sekolah Kluster Cemerlang, Anugerah Kecemerlangan UPSR dan Anugerah 3K Kebersihan peringkat kebangsaan.

Majlis makan malam gala itu diserikan dengan persembahan artis oleh juara Asean Song Contest 2019, Rosario Bianis, dan penampilan khas penyayi rock terkenal, Awie. -SabahNewsToday