Pilih Bahasa

SK Sri Gaya sapu bersih Pertandingan Bicara Berirama, wakil Sabah ke peringkat kebangsaan.

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya menjadi johan keseluruhan dalam Pertandingan Bicara Berirama yang diadakan sempena Karnival Koakademik Bahasa Peringkat Negeri Sabah 2019 di Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah, di sini, Sabtu lepas.

Dengan tajuk ‘Keluarga Harmoni, Keluarga Bahagia’ yang disampaikan dalam persembahan bahasa atau prosa secara berkumpulan, SK Sri Gaya turut menyapu bersih Anugerah Skrip Terbaik dan Konduktur Terbaik.

Guru Besar SK Sri Gaya Alhazmi Abdullah (barisan depan, dua dari kanan) merakamkan foto bersama Kumpulan Bicara Berirama SK Sri Gaya pertandingan Bicara Berirama yang diadakan sempena Karnival Koakademik Bahasa Peringkat Negeri Sabah 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan SK Sri Gaya

Kejayaan ini membolehkan SK Sri Gaya mewakili Sabah di peringkat kebangsaan pada bulan September nanti.

Guru Besar SK Sri Gaya Alhazmi Abdullah berkata bagi menghasilkan satu kumpulan yang padu, seragam dan berdisiplin ia memerlukan tempoh masa yang lama.

Kumpulan Bicara Berirama SK Sri Gaya merakamkan gambar beramai dalam Pertandingan Bicara Berirama yang diadakan sempena Karnival Koakademik Bahasa Peringkat Negeri Sabah 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan SK Sri Gaya

“Kumpulan Bicara Berirama SK Sri Gaya ini terdiri daripada 25 orang murid Tahun Empat dan tujuh orang murid Tahun Lima.

“Kumpulan ini juga pernah menerima beberapa anugerah sebelum ini dalam beberapa pertandingan. Pada 2016, kita telah mendapat tempat ketiga di peringkat Kebangsaan dalam Pertandingan Bicara Berirama Alam Sekitar.

Murid Tahun Empat, Bibi Aysha Muhammad Zain dianugerahkan Anugerah Konduktur Terbaik dalam Pertandingan Bicara Berirama yang diadakan sempena Karnival Koakademik Bahasa Peringkat Negeri Sabah 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan SK Sri Gaya

“Manakala dua tahun lepas, sekolah ini telah mendapat naib johan di peringkat negeri Sabah. Alhamdulillah, bermula tahun lepas, SK Sri Gaya mendapat johan diikuti tahun ini,” katanya ketika dihubungi SabahNewsToday hari ini.

Menurut Alhazmi, antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pasukan kali ini adalah masalah kesihatan.

“Beberapa murid mengalami masalah kesihatan seperti selsema, batuk dan demam. Walau bagaimanapun, komitmen yang tinggi dalam pasukan ini tidak menghalang untuk menggalas amanah bagi mewakili Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu. Syabas dan tahniah,” katanya

Tambah Alhazmi, dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah ini, pasukan Bicara Berirama SK Sri Gaya juga berjaya menyapu bersih ketiga-tiga anugerah yang dipertandingkan iaitu Anugerah Konduktur Terbaik, Skrip Terbaik dan Persembahan Terbaik.

“Murid Tahun Empat, Bibi Aysha Muhammad Zain dipilih sebagai konduktur terbaik dalam pertandingan itu.” katanya.

Alhazmi turut mengucapkan penghargaan kepada ibu bapa yang sentiasa menyokong penglibatan anak mereka dalam aktiviti kokurikulum ini.

“Selain daripada itu, sokongan daripada Yang DiPertua PIBG SK Sri Gaya, Muhammad Arif Tun Sakaran juga antara yang mendorong kepada kejayaan ini. Dan kita akan memastikan pasukan ini akan membuat yang terbaik ketika mewakili Sabah ke Pertandingan Bicara Berirama peringkat kebangsaan pada awal September nanti,” katanya.

Pasukan bicara berirama ini dikendali oleh Noor Syaakira Isahak dan Dyah Shintawati sebagai jurulatih manakala pengurus pasukan ini, Siti Norhazlin Ruslin dan Rosalia Robert. -SabahNewsToday