Pilih Bahasa

SK Stella Maris harumkan nama Malaysia, menang dua emas Piala Dunia Menari 2019

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sekolah Kebangsaan (SK) Stella Maris mengharumkan nama Malaysia apabila memenangi dua pingat emas dalam Pertandingan Piala Dunia Menari 2019 di Braga, Portugal.

Emas pertama SK Stella Maris dimenangi oleh Muhammad Fakhrul Afif bagi kategori solo acara tarian rakyat dan kebangsaan.

Ahmad Mikhail Damsal, 10, Muhammad Fakhrul Afif, 12, Oscar Neil, 12, dan Santiani Benjamin, 12, disambut meriah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Mempersembahkan tarian berjudul “Awang Alak Betatar”, Muhammad Fakhrul turut memenangi anugerah penari kanak-kanak lelaki terbaik dalam pertandingan yang berlangsung dari 28 Jun hingga 6 Julai itu.

Muhammad Fakhrul kemudian berganding dengan peserta termuda pertandingan Ahmad Mikhail Damsal, 10 tahun dan Oscar Neil untuk memenangi emas dalam kategori duet/trio acara tarian rakyat dan kebangsaan.

Tarian emas mereka berjudul ‘Nambayunan’.

Dari kiri; Ahmad Mikhail Damsal, 10, Muhammad Fakhrul Afif, 12, Oscar Neil, 12, dan Santiani Benjamin, 12, bergambar sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Seorang lagi peserta SK Stella Maris, Santiani Benjamin mendapat tempat ke-empat kategori solo.

Murid darjah enam Stella Maris – Muhammad Fakhrul, Oscar dan Santiani bersama Ahmad Mikhail (darjah empat) bernaung di bawah Tagaps Dance Theatre.

Ketibaan wira-wira cilik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu petang tadi disambut meriah para ibubapa, guru-guru dan rakan.

Ketika ditemui, Muhammad Fakhrul berkata kejayaan yang dikecapi oleh mereka sukar untuk dibayangkan.

Muhammad Fakhrul Afif, 12, menunjukkan piala kejuaraannya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) selepas menyertai Dance World Cup 2019 di Braga, Portugal, baru-baru ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Untuk kategori solo, saya pernah mewakili negara pada tahun lepas dalam acara yang sama. Namun hanya mendapat tempat ke-11

“Alhamdulillah, berkat usaha dan keringat saya selama ini membuahkan hasil apabila mendapat anugerah ini selain dari memberikan fokus yang penuh pada edisi kali ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, guru-guru dan ibu bapa yang memberikan sokongan kepada saya,” katanya.

Menurut jurutari kumpulan itu, Abi Asyraf Afi Aji Lee, 29, judul tarian emas bagi kategori duet/trio “Nambuyunan” merupakan dari bahasa suku kaum Murut bermaksud “ukiran gila.”

Ia dipersembahkan melalui tarian yang hanya menggunakan bulu burung bersama rentak tarian yang menceritakan makna disebalik nama “Nambuyunan.”

Menurutnya lagi mereka telah mempersembahkan tiga jenis tarian iaitu Murut, Sumazau kreatif dan Brunei dalam pertandingan Piala Dunia itu.

Sementara itu, Malaysia turut memenangi emas dalam kategori Children Small Group National melalui SK Mutiara.

Kumpulan enam murid bersama guru pengiring dari SK Mutiara itu kembali ke tanah air kelmarin.-SabahNewsToday