Pilih Bahasa

SKMM serah kepada polis siasat portal didakwa siar berita palsu

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyerahkan kepada pihak polis bagi menyiasat laporan sebuah portal berita berkaitan mendakwa seorang menteri di negeri ini menyalahgunakan kuasa.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata siasatan akan dijalankan bagi memastikan samaada berita yang ditulis itu palsu atau tidak.

Gobind (dua dari kanan) ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Dekoder myFreeview Kepada Isi Rumah B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah hanya untuk membantu polis sekiranya terdapat permintaan mengenai penyiaran yang dibuat di media sosial.

“Sekiranya perkara yang diterbitkan adalah sesuatu yang menyinggung perasaan. Orang yang tersinggung itu mempunyai hak untuk membuat laporan.

“Tetapi jika terdapat sebarang kesalahan berlaku, terpulang kepada pihak polis untuk menyelesaikan siasatan dan menghantar kertas siasatan kepada peguam negara yang akan memutuskan tindakan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Dekoder myFreeview Kepada Isi Rumah B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU), dekat sini, hari ini.

Terdahulu,  Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony merancang untuk menyaman sebuah portal berita tempatan mengenai tuduhan kontrak yang diberikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Peter berkata kementeriannya sudah membuat laporan polis dan menggesa SKMM mengambil tindakan terhadap portal terbabit.

Portal berkenaan mendakwa Peter terlibat dalam pemberian kontrak bernilai RM1.5 bilion dari JKR Sabah tanpa sebarang tender. -SabahNewsToday