Pilih Bahasa

SKN Sabah tegur pengguna jalan raya yang masih berdegil

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Melihat jumlah kenderaan yang banyak dalam sekatan jalan raya di Jalan Kepayan, di sini, Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah, Datuk Safar Untong yang dalam perjalanan pulang memberhentikan kenderaannya lalu menuju ke sekatan itu sebelum menegur pemandu-pemandu terbabit.

Barisan kenderaan yang panjang dapat dilihat bergerak dari arah Putatan ke Pusat Bandar ketika sekatan jalan raya dibuat oleh polis berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Jalan Kepayan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau turut meluahkan rasa kecewa dengan keadaan itu kerana Perintah Kawalan Pergerakan yang sudah memasuki hari ketiga hari ini, orang ramai masih keluar rumah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Sr Safar Untong menasihati seorang pemandu untuk pulang ketika meninjau sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Jalan Kepayan, Kota Kinabalu. Turut kelihatan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Safar berkata, beliau dalam perjalanan pulang selepas mempengerusikan Pusat Perintah Covid-19 Sabah lalu memberhentikan kenderaannya kerana masih banyak kereta bergerak masuk ke pusat bandar raya.

“Hari ini kebetulan saya berada di lapangan dan memang kita lihat masih banyak pergerakan daripada orang awam seolah-olah tidak mengendahkan Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Sr Safar Untong berada di lokasi bagi meninjau sekatan jalan raya yang dibuat PDRM berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Jalan Kepayan, Kota Kinabalu. Turut kelihatan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Jadi saya menyeru kepada masyarakat supaya mematuhi perintah larangan ini dan kalau tiada keperluan yang penting, duduklah diam-diam di rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, pelbagai alasan yang diberikan oleh pengguna kenderaan antaranya mengambil isteri, ingin membeli keperluan makanan dan sebagainya.

Anggota polis menasihati pemandu dan penumpang sebuah kenderaan untuk pulang ketika membuat sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jalan Kepayan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Patuhilah Perintah Kawalan Pergerakan dan teruskan berada di rumah untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya akan berusaha sehabis mungkin untuk melakukan operasi sekatan jalan di sekitar laluan utama di ibu negeri ini.

Anggota polis menasihati pemandu dan penumpang sebuah kenderaan untuk berpatah balik ketika membuat sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jalan Kepayan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita akan beroperasi berterusan selama 24 jam secara shif yang mana kita buat sekatan jalan raya dengan kekuatan anggota Sukarelawan Polis, di dua tempat keluasan masuk penduduk di sekitar Kota Kinabalu ke arah pusat bandaraya iaitu dari kawasan Kepayan dan Tanjung lipat.

“Pemeriksaan ke premis-premis di sekitar bandar raya ini turut dijalankan bagi memastikan orang ramai mematauhi Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya. – SabahNewsToday