Pilih Bahasa

Skuad Tambadau dilandasan baik naik ke Liga Super: Peter

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony percaya pencapaian baik pusingan pertama petanda baik untuk Tambadau Sabah mengotakan impian naik ke Liga Super musim depan.

Tambadau Sabah berada dilandasan baik selepas menemui semula rentak kemenangannya pada perlawanan terakhir pusingan pertama mengalahkan Kelab Bola Sepak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) 3-1 di Stadium Likas pada Sabtu malam lalu.

Peter Anthony – Gambar fail SNT

Kemenangan itu mengekalkan Tambadau Sabah di tangga kedua, kedudukan yang hanya boleh dipintas Kelab Bola Sepak Universiti Teknologi Mara (UiTM FC) yang masih memiliki dua perlawanan pusingan pertama termasuk menentang Sarawak petang tadi.

Tambadau Sabah menamatkan 10 perlawanan pusingan pertama dengan 18 mata dengan rekod lima menang, tiga seri dan dua kalah.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pencapaian pusingan pertama. Kita bermula dalam keadaan sedikit kelam kabut selepas mengambil alih pentadbiran dan pengurusan persatuan dan pasukan penghujung tahun lalu.

“Bagaimanapun dengan komitmen semua pihak kita dapat atasi semua halangan. Ada ketika pasukan tidak konsisten tetapi saya fikir kita bermain baik dalam banyak perlawanan juga.

“Hanya kalah dua perlawanan manakala menang lima dan seri tiga kali adalah pencapaian yang lebih baik berbanding pencapaian pusingan pertama musim lalu (14 mata dengan rekod tiga menang, lima seri dan dua kalah),” kata Peter.

Untuk itu, Peter mengucapkan syabas kepada semua anggota pasukan terutamanya pengurusan, barisan jurulatih dan pemain.

“Teruskan usaha kerana kita baru di separuh jalan. Dengan komitmen semua melaksanakan peranan masing-masing di pengurusan, teknikal dan pemain, kita mampu jadikan impian naik ke Liga Super jadi kenyataan.

“Kami di pihak pentadbiran juga terus berusaha mempertingkatkan prestasi pasukan untuk menghadapi pusingan kedua yang pasti lebih sengit. Saya yakin kita berada di landasan yang baik untuk kotakan sasaran naik ke Liga Super musim depan,” katanya.

Sambil itu, ketua jurulatih, Jelius Ating berkata, kehadiran Peter memimpin persatuan telah membuka lembaran baru dan membuka peluang terbuka dan terbaik untuk pasukan naik ke Liga Super musim depan.  

“Kami kini lebih fokus dengan tugas masing-masing. Kami akan terus berkerja keras bagi memastikan impian Datuk (Peter) yang juga impian semua untuk pasukan naik ke Lig Suer musim depan akan tercapai,” katanya.

Tambadau Sabah akan meneruskan cabaran dengan perlawanan pertama pusingan kedua menentang Selangor United di Stadium Likas pada 4 Mei.-SabahNewsToday