Pilih Bahasa

Skuad Tambadau menang bergaya 3-1 ke atas UKM FC di Likas

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Tambadau Sabah menutup tirai pusingan pertama Liga Perdana 2019 dengan kemenangan bergaya 3-1 ke atas UKM FC di Stadium Likas dekat sini malam ini.

Dalam perlawanan itu nampak jelas bahawa skuad Tambadau bermain hanya dengan satu misi iaitu mencapai kemenangan.

Peluang datang seawal minit pertama melalui Rodoljub Paunovic namun rembatan kencangnya dapat diselamatkan oleh penjaga gol UKM FC Khatul Anuar Md Jalil.

Ketua pasukan Rawilson Batuil yang kembali selepas digantung satu perlawanan berpeluang membawa Sabah ke hadapan namun tandukannya hanya sipi ke sebelah kanan gol UKM FC pada minit ke-13.

Kapten Sabah, Rawilson Batuil membuat tandukan ke arah gol UKM FC. Gambar SNT/Ihsan Safa

Pada minit ke-19, akhirnya Skuad Tambadau memecah kebuntuan melalui gerakan pemain sayap kanan, Alto Linus dan Paunovic.

Sebaik mendapat hantaran dari Alto, Paunovic bergerak laju dari sebelah kanan, mengelecek seorang pertahanan UKM FC dan membuat hantaran lintang ke tengah yang ditanduk oleh Alto menewaskan Khatul Anuar menjadikan kedudukan Sabah mendahului 1-0.

Permainan bertambah rancak selepas itu dengan skuad Tambadau cuba menandingi kepantasan pemain-pemain pasukan UKM FC.

Alto Linus dan rakannya meraihkan jaringan pertama skuad Tambadau. Gambar SNT/Ihsan Safa

Sabah tersentak pada minit ke-42, apabila pemain tengah UKM FC, Mohd Hafizi Amiruddin menggunakan peluang dengan sebaiknya untuk menewaskan penjaga gol Rohaimie Rohim melalui satu tendangan leret dari tepi kotak penalti dan menyamakan kedudukan 1-1.

Selepas itu skuad Tambadau bertambah garang dan hanya dua minit kemudian pada minit ke-44 pasukan tuanrumah berjaya kembali ke hadapan dengan jaringan tidak disangka daripada pemain pertahanan Dendy Lowa.

Luiz Carlos Junior (No. 7) cuba melepasi pemain pertahanan UKM FC. Gambar SNT/Ihsan Safa

Gol berpunca dari sepakan percuma Luiz Carlos Junior di atas kotak penalti yang terkena benteng pertahanan UKM FC sebelum melantun ke tengah padang di mana Dendy sedang menunggu.

Mengawal bola dengan kemas, Dendy melambungnya kembali ke dalam kotak penalti tetapi lantunan bola itu mengelirukan penjaga gol, Khatul Anuar yang cuba meluru ke depan hanya untuk melihat bola melantun tinggi dari jangkauan sebelum masuk ke dalam gawang.

Gol tersebut menyuntik semangat kepada skuad Tambadau sebelum rehat separuh masa.

Pada babak kedua, UKM FC cuba menyamakan kedudukan melalui penyerang Mateo Roskam dan Mohd Irwan Syazmin Wahab namun tidak dapat menembusi benteng pertahanan Sabah yang dikawal, Rawilson, Park Taesu, Dendy dan Randy Baruh.

Kesilapan pemain pertahanan, Mohd Akmal Md Zahir pada minit ke-59 yang cuba menanduk bola hantaran pemain Sabah, Jenius Karib ke belakang membawa padah sebab tiada rakannya di situ.

Rodoljub Paunovic (No.9) bekerja keras dalam perlawanan menentang UKM FC, menyumbang satu gol dan satu assist. Gambar SNT/Ihsan Safa

Paunovic, pemain terbaik malam tadi, melihat peluang tersebut memecut membawa lari bola, memperdaya seorang pertahanan UKM FC dihujung kotak penalti sebelum melepaskan rembatan leret dengan kaki kanan melewati dakapan Khatul Anuar untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Permainan bertambah fizikal memaksa pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih melayangkan beberapa kad kuning kepada pemain kedua-dua pasukan.

Kedudukan tidak berubah sehingga tamat permainan.

Dengan kemenangan ini, Sabah kekal berada di tangga kedua di belakang JDT II yang masih mempunyai baki satu perlawanan sebelum menamatkan pusingan pertama liga.

Skuad Tambadau yang menerima kata-dua daripada pemangku Presiden Safa Datuk Peter Anthony agar meningkatkan prestasi atau hadapi tindakan drastik mengumpul 18 mata (5 menang, 3 seri dan 2 kalah) daripada 10 perlawanan.

Dengan pintu perpindahan pemain dibuka 2-29 Mei depan, terdapat tanda tanya dengan nasib pemain tengah dari Serbia, Luka Milunovic yang tidak diturunkan dalam perlawanan tadi.

Menurut sumber, besar kemungkinan Luka yang mendapat anugerah pemain terbaik bulan Februari Liga Premier  PFAM-asiana.my tidak akan beraksi untuk skuad Tambadau pada pusingan kedua liga nanti.

Sabah akan memulakan cabaran pusingan kedua pada 4 Mei menentang Selangor United FC di tempat sendiri.-SabahNewsToday