Pilih Bahasa

Skuad Tambadau Sabah akan lebih gagah pusingan kedua

KOTA KINABALU: Pengurus pasukan Henry Saimpon yakin Tambadau Sabah akan tampil dengan lebih gagah pada pusingan kedua Liga Premier yang akan bermula minggu ini.

“Semua anggota pasukan telah dan akan terus berkerja keras mempertingkatkan prestasi pasukan. Barisan jurulatih yang diketuai Jelius Ating telah melaksanakan tugas dengan baik  dan saya yakin kami akan lebih mantap mengharungi pusingan kedua. 

Henry Saimpon. Gambar Fail SNT

“Saya fikir pencapaian pasukan pada pusingan pertama boleh dibanggakan dan telah meletakkan kita di landasan yang baik bagi meneruskan misi membawa pasukan naik ke Liga Super musim depan,” katanya dalam kenyataannya pada Isnin.

Beliau berkata, kempen sepanjang pusingan pertama juga banyak memberi pengajaran terutama keperluan untuk mempertingkatkan lagi prestasi pasukan.

“Persiapan kita musim ini sebenarkan agak lewat di mana hanya bermula selepas pentadbiran dan pengurusan baru mengambil alih pada penghujung tahun.

“Sebab itu ada beberapa isu termasuk  persefahaman agak kurang pada awal musim tetapi semua itu telah kita atasi satu persatu sehinggalah sekarang saya lihat pasukan ini masih boleh terus meningkat,” katanya.

Ditanya sama ada merombak pasukan adalah antara usaha memantapkan pasukan, Henry berkata, ia antara yang dipertimbangkan terutama dengan jendela perpindahan pemain dibuka pada 2-29 Mei depan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, usaha memantapkan pasukan adalah proses yang berterusan. Maknanya, apa juga tindakan yang kita ambil, ia adalah demi kemajuan pasukan.

“Kalau merombak pasukan itu boleh menjadikan kita lebih kuat…kenapa tidak (kita buat rombakan). Bagaimanapun, harus diingat bahawa sebarang tindakan itu juga perlu mengambil kira faktor lain seperti dari segi kemampuan kewangan,” katanya.

Beliau berkata, kehilangan khidmat pemain utama, Sabri Sahar sepanjang musim ini kerana kecederaan  serta keadaan Maxsius Musa yang masih boleh beraksi juga disebabkan kecederaan juga adalah faktor yang diambil kira dalam memantapkan pasukan.

“Tambahan atau pertukaran pemain akan dibincangkan dengan jurulatih dan sebarang cadangan akan kemukakan dengan pemangku presiden untuk tindakan selanjutnya,” kata Henry.

Katanya, pasukan sangat bertuah kerana pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony sentiasa memahami dan telah berusaha memenuhi keperluan pasukan.

“Kepimpinan dan keprihatinan Datuk (Peter) terutama menjaga kebajikan anggota pasukan membolehkan kami lebih fokus kepada tugas masing-masing sama ada sebagai pegawai pasukan mahupun pemain,” katanya.

Tambadau Sabah akan memulakan kempen pusingan kedua melayani kunjungan Selangor United di Stadium Likas pada 4 Mei dan tanpa perlawanan kira-kira dua minggu sebelum perlawanan kedua menentang UKM FC di tempat lawan pada 18 Mei.

Tambadau Sabah akan memulakan pusingan kedua di tangga ketiga selepas kedudukannya di tempat kedua sebelumnya dipintas UiTM FC.

Sepuluh perlawanan pusingan pertama menyaksikan Sabah mengumpul 18 mata dengan rekod lima menang, tiga seri dan dua kalah manakala UiTM di tangga kedua dengan 20 mata sementara JDT II mendahului dengan 24 mata.

Tempat ke Liga Super untuk pasukan dari Liga Premier diperuntukkan kepada dua pasukan teratas.

-SabahNewsToday