Pilih Bahasa

SKUAD TAMBADAU SEDIA HADAPI POLIS

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Sabah akan menurunkan kesebelasan terbaik apabila melayani pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Stadium Likas malam esok.

Kesemua empat pemain import Sabah turut disahkan cergas bagi perlawanan ke-empat saingan Liga Perdana ini.

Henry Saimpon. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Menurut Pengurus Pasukan, Henry Saimpon, penyerang Brazil, Luiz Carlos Junior yang diketepikan ketika menentang Sarawak kerana kecederaan otot paha Sabtu lalu telah pulih dan sudah menyertai pasukan berlatih.

Tiga lagi import Sabah ialah Park Taesu (pertahanan), Luka Milunovic (penyerang tengah) dan Rodoljub Paunovic (penyerang).

“Kehadiran semula Junior  tepat pada masanya kerana penggantinya sebelum ini, Ricco Nigel Milus tidak dapat disenaraikan pada Sabtu. Ricco menjalani penggantungan satu permainan ekoran telah mengumpul tiga kad kuning.

“Apapun, ketiadaan satu dua pemain kerana kecederaan atau penggantungan permainan adalah perkara biasa dalam bola sepak. Kita kena bersedia dengan situasi ini,” kata Henry ketika ditemui di sini, Khamis.

Menurutnya, kecuali Ricco, semua pemain lain sedia untuk disenaraikan dan beliau percaya pasukan dibawa bimbingan ketua jurulatih Jelius Ating akan bersedia sepenuhnya menghadapi PDRM.

Henry berkata pasukan kini dalam keadaan baik dan Jelius dijangka akan memutuskan senarai pemain utama selepas latihan terakhir hari ini.

“Pasukan dalam suasana yang cukup bagus. Prestasi pasukan juga terus meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Kita memulakan musim ini dengan agak hambar kerana persiapan singkat dan kurang perlawanan pra-musim. Bagaimanapun selepas empat perlawanan, kita nampak keserasian kombinasi pemain semakin meningkat.

“Sebab itu saya yakin kita akan tampil dengan lebih mantap apabila menghadapi PDRM. Kita bertekad meneruskan rentak kemenangan untuk memastikan Tambadau Sabah terus berada di landasan baik sebagai salah satu pencabar utama saingan ini,” katanya.

Sabah kini di kedudukan ketiga carta Liga Premier selepas mengumpul tujuh mata dari empat perlawanan dengan rekod dua menang, satu seri dan satu kalah.

Sambil itu, Henry berharap lebih ramai penyokong datang memberi sokongan kepada pasukan.

Tiket bagi menyaksikan perlawanan itu akan mula dijual pada jam 10 pagi Sabtu.-SabahNewsToday